Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengekalkan keputusannya untuk berundur dan akan melepaskan semua jawatannya didalam Umno, Barisan Nasional (BN) dan juga kerajaan selepas Oktober, 2003.
Beliau juga menamakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya dan keputusan ini telah diterima sebulat suara oleh Majlis Teringgi (MT) Umno.
Walaupun tiada tarikh tetap yang diberi bila perletakan jawatan itu berkuatkuasa, Mahathir akan berundur selepas Persidangan Kemuncak Negara-negara Islam (OIC) yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Okt 24-25 tahun hadapan.
Mahathir telah membuat keputusan ini bagi membolehkan peralihan kuasa dan tugas-tugas kepada pucuk pimpinan baru dibawah Abdullah dibuat dengan cermat dan teratur, kata setiausaha agung Umno Tan Sri Mohd Khalil Yaakub.
Tempoh itu juga adalah untuk beliau memenuhi tanggungjawab yang perlu dipenuhi seperti mempengerusikan Persidangan Kemuncak Negara-negara Berkecuali pada Feb 24-25 dan juga Persidangan Kemuncak OIC tersebut.
Keputusan-keputusan ini telah diumumkan oleh Khalil di dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang telah dipengerusi oleh Abdullah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur petang tadi.
Khalil memberitahu keputusan-keputusan itu dibuat selepas perbincangan diantara Mahathir dan ahli jawatankuasa pengurusan Umno yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya pada pagi Jun 23 yang lalu.
Perbincangan itu dibuat berikutan peristiwa tergempar Sabtu lalu selepas Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2002.
Bagaimanapun, sejam selepas itu Abdullah mengumumkan bahawa Perdana Menteri bersetuju menarik balik hasratnya.
Hormati hasrat Dr M
Mohd Khalil juga berkata MT Umno menghormati and menerima hasrat Mahathir seperti mana yang dinyatakan dan menyeru kepada ahli-ahli parti untuk turut berbuat demikian.
Keputusan itu juga mengesahkan bahawa Mahathir akan terus memegang semua jawatan-jawatan beliau di dalam Umno, Barisan Nasional dan kerajaan termasuk jawatan menteri kewangan.
Mahathir juga dijangka akan mengambil cuti selama dua bulan dan pada waktu tersebut Abdullah akan dilantik sebagai pemangku presiden Umno dan Perdana Menteri.
"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga akan memangku jawatan perdana menteri dan presiden Umno pada bila-bila masa lain apabila Datuk Seri Dr Mahathir mengambil cuti dalam tempoh sebelum persidangan OIC tersebut," umum Khalil lagi.
Mahathir juga menyeru semua ahli-ahli Umno untuk sentiasa bekerjasama mengukuhkan kedudukan parti. Beliau turut memberi jaminan akan terus memberi sumbangan dan pandangan beliau selepas bersara.
Selepas Khalil selesai membaca keputusan-keputusan tersebut, naib-naib presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Hishamuddin Tun Hussein telah menyatakan sokongan mereka terhadap keputusan yang telah dibuat.
Memberi kepastian
Dalam satu sessi soal balas selepas pengumuman itu, Abdullah berkata keputusan itu telah memberi kepastian kepada pengganti pucuk pimpinan dan tempoh masa bila Mahathir perletakan jawatan itu akan berlaku.
"Mahathir sedang mengambil cuti selama 10 hari dan telah menyerahkan kepada saya untuk keputusan-keputusan yang perlu dibuat. Apabila dia mengambil cuti panjang kelak, saya akan dilantik secara sah sebagai pemangku Perdana Menteri," tegasnya lagi.
Beliau juga tidak akan membuat apa-apa polisi dalam jangkamasa 15 bulan kerana pada hakikatnya beliau masih seorang timbalan kepada Mahathir dan akan terus berbincang hal-hal negara dan kerajaan bersama Perdana Menteri.
Abdullah menambah bahawa kemungkinan pergolakan kuasa dalam Umno serta persediaan parti itu untuk menghadapi pilihanraya umum tidak dibincang semasa perjumpaannya dengan Mahathir pada Ahad lalu.
Mahathir sedang bercuti di Napoli, Itali bersama isterinya Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan dijangka pulang ke Malaysia pada Julai 3 ini.
