Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Anak kecil main api' bakar sentimen kaum: PAS
Diterbitkan:  Dec 15, 2009 6:18 AM
Dikemaskini: 8:41 AM

Biro Tatanegara (BTN) tidak menyemai semangat patriotisme seperti dakwaan seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya sentimen perkauman mula tersebar selepas biro itu diwujudkan, kata seorang pemimpin PAS.

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata pandangan Datuk Ahmad Maslan itu menafikan fakta sejarah bahawa masalah perkauman "menjadi begitu serius selepas BTN diwujudkan."

"Selain itu, peserta kalangan Melayu dan bumiputera dihasut supaya membenci kaum lain dengan lagu 'Anak kecil main api'.

"Jiwa perkauman dibakar dalam dada mereka dan mereka diingatkan agar sentiasa berwaspada kepada kaum-kaum lain.

"BTN juga mengasuh pesertanya agar membenci pemimpin-pemimpin yang tidak pro-Umno dan BN."

Beliau mengulas kenyataan Ahmad, juga sebagai ketua penerangan Umno, yang dilaporkan berkata negara ini sudah lama hancur jika benar BTN menyemai semangat perkauman seperti dituduh pemimpin-pemimpin pembangkang.

"Sebaliknya, negara ini baik dan bertambah kuat dari setahun ke setahun kerana ada BTN.

"Punca orang tidak bergaduh dalam negara ini kerana ada BTN," beliau, yang bertanggungjawab terhadap biro tersebut, dipetik berkata.

Biro bawah JPM itu mula menjadi perbahasan hangat selepas Selangor, yang diketuai Pakatan Rakyat, melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya menyertai kursus BTN, 25 November lalu.

Larangan itu turut dilaksanakan di Pulau Pinang seminggu kemudian. Kelantan bagaimanapun hanya tidak menggalakkan kakitangannya berbuat demikian.

Mengulas lanjut kenyataan Ahmad itu, Idris berkata BTN berusaha menanam semangat cintakan Umno dengan menyebarkan rasa benci peserta terhadap parti-parti pembangkang.

"Pemimpin PAS dikatakan sesat, pemimpin PKR dituduh sebagai pencetus huru-hara, pemimpin DAP difitnah sebagai pelampau komunis dan (tuduhan) ini semua hanya berlaku dalam program BTN.

"Peserta diasuh menjadi pembenci dan hanya taat pada Umno," katanya.

Sebagai mempertahankan BTN, Ahmad dilaporkan menyifatkan tindakan berbuat demikian - seperti menayangkan rakaman video demonstrasi pembangkang - untuk menyemai semangat patriotisme.

Mengulas kenyataan tokoh popular DAP Lim Kit Siang berhubung tayangan klip video Hindraf dan demonstrasi pembangkang, pemimpin Umno itu dipetik berkata:

"Selain itu, BTN menceritakan dasar kerajaan sehingga boleh mengubah fikiran (mereka) yang tidak sukakan kerajaan dan tidak suka cerita tentang kontrak sosial."

Ahmad dilaporkan berkata lagi, desakan Lim itu "bukan isu besar" kerana tayangan video itu hanya satu bentuk selingan dalam usaha meniupkan semangat patriotisme.

"Kalau patriotik, tidak buat demonstrasi jalanan hingga boleh menghancurkan negara, kita tidak mahu rakyat buat perkara tidak elok.

"Jadi sebagai agensi kerajaan kita menceritakan dasar kerajaan, apakah itu salah," katanya seperti dilaporkan.

Menjawab isu tersebut, Idris berkata asuhan minda dalam kursus-kursus BTN menyebabkan orang Melayu dan bumiputera "tidak dapat berfikir dengan rasional" apabila mereka didedahkan fakta-fakta sebelah pihak sahaja, misalnya peristiwa darurat, tragedi Memali yang melibatkan pemimpin PAS, dan juga suasana politik selepas pilihan raya umum 1999 dan 2008.

Kononnya, kata Idris lagi, negara ini sudah dikuasai kaum Cina dan India apabila beberapa negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

"Bagi peserta Cina, India atau kaum-kaum lain, mereka diberikan modul yang berbeza dan didoktrinkan agar patuh kepada kerajaan yang memerintah dan diasuh supaya melihat parti-parti pembangkang sebagai musuh negara," katanya dalam satu kenyataan.

"Mereka diminta untuk menghormati ketuanan Melayu iaitu satu cerita dongeng yang sengaja direka oleh BTN bagi memastikan mereka sedar bahawa hanya orang Melayu sahaja yang layak memerintah negara ini."

"Pemikiran-pemikiran sesat ini menafikan segala hak dan kebebasan

rakyat untuk berfikir dengan wajar.

"Apabila mereka keluar dari kursus ini, perasaan curiga dan berhati-hati dengan kaum lain begitu tebal."

Tambahnya, masalah hubungan kaum itu yang mendorong slogan 1Malaysia seperti sedang dipromosikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Jika benar dakwaan ketua penerangan Umno bahawa negara ini makmur kerana BTN, bermakna beliau juga sudah menolak gagasan 1Malaysia yang Najib bentangkan.

"Tidak ada sebab 1Malaysia kena wujud jika rakyat sudah hidup aman, makmur dan harmoni," kata Idris lagi.

ADS