Keadilan dakwa kompromi perlantikan Pak Lah langgar perlembagaan

comments     Arfaeza A Aziz     Published     Updated

Parti Keadilan Nasional menolak kompromi peralihan kuasa di antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana berpendapat proses itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail menyifatkan penamaan Abdullah sebagai perdana menteri kelima, sebagai langkah tidak bertanggungjawab kerana membelakangi peruntukan perlembagaan di mana perlantikan itu hendaklan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agung.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wan Azizah berkata selepas bermesyuarat semalam, majlis pimpinan tertinggi parti (MPT) telah memutus untuk menolak peralihan kuasa yang diumumkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno Selasa lalu.

Katanya, penentuan jawatan perdana menteri hanya boleh dibuat oleh Dewan Rakyat dan bukannya Presiden Umno, jawatankuasa pengurusan Umno, MT Umno atau Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

"Penetapan Perdana Menteri Malaysia yang kelima hendaklah mendapat mandat baru daripada rakyat bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik sesiapa yang difikirkan mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat," katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa tempoh 16 bulan yang ditetapkan untuk peralihan kuasa adalah terlalu lama.

"Dr Mahathir perlu meletakkan jawatan segera bagi mengelak sebarang ketidaktentuan. Pada masa yang sama beliau perlu tampil menjelaskan keduduakn sebenar," tegasnya lagi.

Sabtu lalu Mahathir telah mengumumkan perletakan jawatannya dalam parti dan kerajaan. Majlis Tertinggi Umno Selasa lalu menjelaskan yang Mahathir akan diganti Abdullah pada Oktober 2003.

Sokongan penuh

Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan, Wan Azizah berkata MPT Keadilan telah sebulat suara memberi sokongan padu kepada calon-calon PAS yang mewakili Barisan Alternatif (BA) dalam pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit.

"MPT juga telah mengarahkan jentera pilihanraya parti di semua negeri untuk turun ke Kedah bagi memperkukuhkan jentera BA di kedua-dua kawasan tersebut.

"Keadilan akan bekerja kuat dengan rakan-rakan BA, bukan sahaja untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan, tetapi juga untuk meningkatkan majoriti undi bagi calon-calon Pas di sana," katanya.

Wan Azizah berkata, Keadilan juga akan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang menjalankan tugas-tugas presiden PAS selepas kematian Datuk Fadzil Noor Ahad lalu.

"Selaku pengerusi mesyuarat majlis presiden Barisan Alternatif (BA), saya yakin beliau akan menerus dan memperkukuhkan usaha menggembleng keberkesanan dan kekuatan BA," katanya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In