BERITA Malaysiakini

Naib presiden Gerakan keluar parti, sertai PCM

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan - yang digantung keahliannya selama tiga tahun - bertindak keluar dari parti itu dan bakal menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM).

huan cheng guan Jun lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) Gerakan mengantung keahlian Huan kerana tindak tanduknya yang didakwa prejudis terhadap kepentingan parti itu dengan secara terbuka mengecam parti dan kepimpinannya, mengisytiharkan untuk meletak jawatan dan mengancam untuk membawa penyokongnya meninggalkan Gerakan.

Sepanjang tempoh tersebut juga, Huan tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti parti.

Pada 10 Disember lalu, Huan memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya menarik balik penggantungannya, atau beliau akan keluar dari parti itu.

Beliau membuat gesaan tersebut ekoran tindakan Majlis Tertinggi Umno menarik balik penggantungan tiga tahun ke atas bekas ketua umno Bukit Bendera, Ahmad Ismail pada 4 Disember lalu.

Ahmad digantung keahliannya berikutan kritikan orang ramai selepas beliau menganggap bukan Melayu sebagai "pendatang" semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Huan berkata ekoran penggantungan dan larangan yang dikenakan ke atasnya itu, maka tiada gunanya untuk beliau terus bersama Gerakan.

"Saya rasa perkara lain ialah kerana saya agak popular dalam parti kerana dalam pemilihan terakhir, saya bertanding jawatan naib presiden dan tidak berada dalam senarai calon popular, dan kemudiannya saya menang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, lapor Bernama.

Huan berkata beliau tidak nampak mengenai kesalahan serius yang dilakukannya dalam parti kecuali mengeluarkan komen terbuka kepada pimpinan sehingga beliau digantung tiga tahun oleh jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Huan juga berkata bahawa beliau telah mengemukakan surat dua minggu lepas meminta CWC menarik kembali penggantungan tersebut namun beliau mendengar khabar angin bahawa beliau akan dipecat.

"Saya rasa lebih baik saya pecat mereka sebelum mereka pecat saya," katanya.

Ditanya apakah langkah beliau selepas ini, Huan berkata beliau akan menganggotai sebuah parti baru.

"80 peratus dah diputuskan dan saya akan mencari parti yang cintakan negara iaitu PCM," katanya yang mendakwa parti itu mempunyai kira-kira 6,000 keahlian yang kebanyakannya di Pulau Pinang dan Sarawak.

Sementara itu, presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika ditanya mengenai keputusan Huan itu hanya berkata: "Selamat berjaya kepada Huan dan selamat berjaya kepada PCM, itu saja".