Mahathir tak yakin kebolehan penggantinya: Anwar
Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menetapkan tempoh peralihan kuasa selama 16 bulan, memperlihatkan sikap kurang yakinnya terhadap kewibawaan penggantinya, dakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga berpendapat bahawa tempoh peralihan kuasa itu membayangkan kedudukan politik yang bercelaru dan mengesahkan bahawa keputusan itu dibuat secara teragak-agak.
"Agak sukar untuk membuat andaian terhadap hasrat pengumuman perletakan jawatan Dr Mahathir. Suasana di sekitar pengumuman itu masih kabur dan aneh.
"Dan, cadangan tempoh peralihan kuasa selama satu setengah tahun itu, membayangkan kedudukan politik yang bercelaru," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya Sankara N Nair.
Tarik balik
Sabtu lalu, dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno, Dr Mahathir menyatakan hasratnya untuk berundur dan melepaskan semua jawatannya dalam Umno dan Barisan Nasional kerajaan.
Bagaimanapun, sejam kemudian Abdullah memberitahu para perwakilan dan pemerhati di perhimpunan agung itu bahawa Dr Mahathir telah menarik balik perletakan jawatannya itu.
Selasa lepas pula, Majlis Tertinggi Umno berkata Dr Mahathir hanya akan melepaskan semua jawatannya selepas mempengerusi Sidang Kemuncak Negara-negara Islam (OIC) di Kuala Lumpur pada Oktober 2003.
Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 September 1998 atas alasan salahlaku seks. Beliau kini menjalani hukuman penjara 15 tahun apabila didapati bersalah atas empat kesalahan penyalahgunaan kuasa dan liwat.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now