DAP menyarankan supaya pemangku Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik cadangan pelaksanaan Rang Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu sebagai bukti kesungguhannya untuk meneruskan agenda kesederhanaan yang diamalkan oleh Datuk Fadzil Noor dalam PAS.
Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata ini kerana rang undang-undang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, melanggar hak asasi manusia dan mendiskriminasikan wanita.
Katanya, yang terpenting sekali ialah rang undang-undang itu melanggar semangat manifesto bersama Barisan Alternatif (BA) pada 1999, di mana parti-parti komponen yang menandatanganinya, telah berikrar 'untuk mempertahan dan menghormati prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Malaysia.
Selepas mengambil alih tugas Fadzil, Abdul Hadi mahu rakyat Malaysia supaya 'menghakimi perkataan dan perbuatannya' dan bukan berdasarkan tulisan-tulisan yang menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin PAS yang radikal.
"Hadi juga berkata beliau akan meneruskan agenda kesederhanaan yang dibawa oleh Fadzil, serta memberi jaminan bahawa tidak akan ada perubahan dalam orientasi politik PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kit Siang menyarankan supaya Abdul Hadi membuktikan kata-katanya itu dengan menarikkan cadangan pelaksanaan rang undang-undang berkenaan.
Calon timbalan presiden
Mengenai perkembangan dalam Umno, Kit Siang meramalkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan dicabar jawatan presiden Umno selepas Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan itu tahun depan.
Bagaimanapun, beliau menjangka akan berlaku perebutan bagi jawatan timbalan presiden Umno, yang kesannya akan turut menentu selama mana Abdullah akan memegang jawatan perdana menteri Malaysia kelima.
Persoalannya sekarang, katanya, ialah bukan sama Abdullah akan dicabar, tetapi siapakah yang akan menjadi pemimpin nombor dua dalam Umno dan Kerajaan -sama ada Abdullah akan mengikut jejak Dr Mahathir pada 1981, dengan menyerahkannya kepada para perwakilan, atau memilih timbalannya, sepertimana juga dilakukan oleh Dr Mahathir akhir-akhir ini.
Kit Siang berpendapat, kelemahan utama Abdullah ialah pemilihannya sebagai timbalan presiden Umno tidak dibuat melalui pemilihan perwakilan, apabila majlis tertinggi Umno memutuskan tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalannya.
Mengenai sama ada Dr Mahathir akan mengubah fikirannya selepas tamatnya tempoh peralihan 16 bulan, Kit Siang berkata, beliau tidak nampak kemungkinan akan berlaku, dan yakin Abdullah akan menjadi perdana menteri yang kelima.
