Pemuda PAS tegur sikap fanatik ahli Umno terhadap Dr Mahathir
Dewan Pemuda PAS pusat hari ini menegur sikap ahli-ahli Umno yang didakwanya begitu fanatik terhadap Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad 'seolah-olah hanya beliau sahaja yang mampu mentadbir negara ini'.
"Selama ini, Dr Mahathir mengherdik orang Melayu kerana mentaliti tongkat sehingga memaksa Umno dan Barisan Nasional (BN) menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu," kata Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Mahfuz Haji Omar.
Bagaimanapun, katanya, hari ini terbukti bahawa mentaliti tongkat ini sangat menebal dalam Umno sehingga mereka tidak yakin untuk berdiri tanpa Dr Mahathir.
"Inilah kejayaan yang dicapai oleh Dr Mahathir dalam mewujudkan suasana fanatik kepada ahli Umno sehingga mereka tidak dapat menerima Umno tanpa Dr Mahathir," tambahnya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, katanya, Dewan Pemuda PAS melihat keputusan Umno untuk menyelesaikan masalah perletakan jawatan presiden Umno dan perdana menteri sebagai sesuatu yang sangat aneh.
Dr Mahathir telah mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) sewaktu berucap menggulung perbahasan di perhimpunan agung Umno, pada 22 Jun lalu.
Sehubungan itu, Mahfuz berkata, sebagai parti pemerintah, keputusan Umno itu seolah-olah menggambarkan parti itu tidak yakin dengan kemampuan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memimpin negara dan Umno.
"Tempoh peralihan sehingga Oktober 2003 secara tidak langsung menggambarkan ada masalah dalaman yang kronik dalam kepimpinan Umno," tambahnya.
Kuasa pemangku Perdana Menteri
Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, berkata Dr Mahathir perlu menggariskan dengan jelas bidangkuasa Abdullah sebagai pemangku Perdana Menteri sewaktu tempoh peralihan sehingga Oktober tahun depan.
Katanya, ini perlu bagi menentukan sama ada Abdullah boleh menguatkuasakan sepenuhnya kuasa sebagai pemangku Perdana Menteri, ketika Dr Mahathir bercuti, tanpa perlu merujuk atau mendapatkan persetujuannya terlebih dahulu dalam membuat sebarang keputusan..
Katanya, perkara ini penting kerana ini adalah kali pertama Abdullah akan diberi tugas sebagai pemangku Perdana Menteri, sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sejak Januari 1999.
Di samping itu, kata Kit Siang, dua timbalan Dr Mahathir yang dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam yang meletakkan jawatan kerana 'tidak serasi' manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telah dipecat, didakwa dan kini dihukum penjara.
Tun Ghafar Baba yang turut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak pernah dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri walaupun beliau merupakan timbalan yang paling lama berkhidmat di bawah Dr Mahathir dari tahun 1986 hingga 1993, sebelum beliau tewas bagi pemilihan jawatan timbalan presiden Umno kepada Anwar.
Menurut Kit Siang walaupun pada kebiasaannya pemangku Perdana Menteri tidak mengumumkan dasar-dasar baru, tetapi garis panduan itu perlu bagi membezakan bidangkuasa Abdullah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pemangku Perdana Menteri.
Krisis kepimpinan 2M
"Sebagai pemangku Perdana Menteri, Abdullah perlu memikul semua tanggungjawab dan membuat keputusan sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri, tanpa perlu merujuk atau menunggu kepulangan Dr Mahathir daripada bercuti," katanya.
Kit Siang mendakwa sebab utama berlakunya perselisihfaham dalam kepimpinan '2M' di antara Dr Mahathir dan Musa (Julai 1981 hingga Februari 1986) ialah keputusan yang dibuat oleh Musa, sewaktu menjadi pemangku Perdana Menteri, tidak disenangi Dr Mahathir.
Katanya, ini dapat dilihat sewaktu pilihanraya negeri Sabah pada 1985 di mana sewaktu berkempen, Dr Mahathir berikrar bahawa kerajaan pusat, akan menyokong parti Berjaya pimpinan Datuk Haris Salleh, dalam apa keadaan sekalipun, menentang Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Joseph Pairan Kitingan.
"Apabila PBS menang dengan majoriti 26 kerusi, Haris telah menelefon Musa selaku pemangku Perdana Menteri dan pemimpin BN, sewaktu Dr Mahathir sedang bercuti di luar negeri, bagi mendapatkan sokongan kerajaan pusat.
"Permintaan itu bagaimanapun ditolak oleh Musa, yang mengeluarkan kenyataan tegas bahawa BN dan kerajaan pusat 'menghormati kehendak majoriti rakyat berdasarkan kepada amalam sistem demokrasi berparlimen'," kata beliau.
Memang sudah menjadi pengetahuan umum bahawa keputusan yang dibuat oleh Musa itu tidak disenangi oleh Dr Mahathir, tambahnya.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now