Jaminan tiada perebutan untuk jawatan timbalan presiden Umno: Dr M
Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin tinggi Umno telah memberi jaminan kepadanya bahawa tidak akan berlaku sebarang perebutan kuasa untuk jawatan timbalan presiden Umno, selepas timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi, menggantikanya nanti.
Katanya, perebutan kuasa tidak sepatutnya berlaku kerana pemimpin Umno dan negara, mempunyai tugas yang besar untuk membangunkan negara yang mempunyai potensi besar untuk menjadi negara maju menjelang 2020.
"Kalau tak ada apa-apa (masalah) dan pemimpin negara mendapat sokongan yang kuat, maka rakyat akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju," katanya kepada kira-kira 5,000 penyokongnya yang menyambut kepulangannya dari bercuti di luar negara di Lapangan Terbang Tentera Udara di Raja Malaysia, Subang, pagi tadi.
Mereka yang datang dari seluruh negara seawal jam 5 pagi, membawa pelbagai sepanduk bagi menyambut ketibaan Dr Mahathir sejurus pukul lapan pagi, turut bersorak "hidup Mahathir!" dan "hidup Barisan Nasional!".
Berikutan itu, Dr Mahathir melahirkan kepercayaan penuhnya terhadap Abdullah yang bakal mengambilalih kepimpinan tertinggi negara dan Umno selepas Oktober tahun depan.
"Saya yakin Pak Lah (Abdullah) akan mendapat sokongan sepenuhnya untuk memimpin Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Sokongan padu
Dalam ucapan ringkasnya itu, Dr Mahathir turut menjawab pelbagai spekulasi berhubung kedudukan kepimpinan Umno dan negara, setelah beliau membuat kejutan pada hari terakhir perhimpunan agung Umno pada 22 Jun lalu, dengan mengumumkan perletakan jawatannya dalam Umno dan BN.
Bagaimanapun, beliau tidak sempat menghabis pengumumannya itu kerana diserbu oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno yang terkejut dengan tindakannya itu. Berikutan itu, Majlis Tertinggi Umno mengumumkan bahawa Dr Mahathir bersetuju untuk meneruskan tugasnya sehingga selepas mesyuarat persidangan negara Islam (OIC) Oktober tahun depan.
Dr Mahathir hari ini menjelaskan yang beliau ingin meletakkan jawatannya serta merta, tetapi telah dipujuk oleh pucuk pimpinan Umno untuk melanjutkan perkhidmatannya.
"Saya minta pada mulanya satu bulan, tapi pada esoknya bila ketua ketua parti datang ke rumah saya, saya fikir ianya menjadi tanggungjawab saya untuk mempengerusikan mesyuarat OIC."
"Saya dah beri pengakuan kepada ramai pemimpin OIC yang saya akan sambut mereka. Taklah elok kalau saya tak sambut," tambah beliau.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya, Dr Mahathir berkata sokongan padu yang diberikan selama ini telah membolehkan beliau mentadbir negara dengan dengan aman, tenang dan tanpa sebarang krisis sewaktu berlakunya peralihan kuasa.
Beliau juga menegaskan bahawa bahawa rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana proses peralihan kuasa telah berjalan dengan licin tanpa sebarang masalah seperti yang dialami oleh banyak negara lain.
Sebelum itu, sewaktu bercakap dalam sidang media sejurus selepas ketibaannya, Dr Mahathir pemimpin tinggi Umno bersetuju mengelak perebutan bagi jawatan timbalan presiden parti bagi "mengelak perebutan kuasa dan apa-apa yang tidak manis berlaku dalam parti".
Elak perpecahan
"Saya juga akan sokong Pak Lah sebagai sebagai pemangku presiden (Umno) dan perdana menteri," katanya.
Walaupun perlembagaan Umno membolehkan jawatan presiden and timbalan presiden dipertandingkan, tetapi sejak 1990 Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan supaya ianya tidak dipertandingkan bagi mengejak berlakunya perpecahan dalam parti.
Ini berikutan berlakunya pertandingan hebat di antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden pada 1987, sehingga mengakibatkan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Umno sebagai sebuah pertubuhan tidak sah.
Dr Mahathir juga berkata kriteria utama dalam pemilihan Abdullah adalah kerana beliau merupakan timbalan presiden parti dan telah lama bekerjasama dengannya.
"Abdullah juga telah menyatakan kesanggupannya untuk mengambil alih (tugas presiden parti dan perdana menteri)," tambah perdana menteri.
Mahathir turut berkata beliau tidak akan menghampakan penyokong parti selepas perletakan jawatannnya, dengan terus memberikan sumbangan untuk mengukuhkan parti walaupun tidak memegang sebarang jawatan.
BN sudah bersedia
Kepada satu soalan, beliau menafikan akan menjadi seperti pemimpin Singapura Lee Kuan Yew yang terus menerajui negara tersebut selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Mengenai pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Anak Bukit, Dr Mahathir berkata BN telah lama membuat persiapan awal, "terutamanya bagi kawasan yang mungkin ada pilihanraya kecil".
"Saya yakin jentera parti dah siap dan kita boleh menghadapi piliharaya walaupun ini adalah kawasan parti lawan," katanya lagi.
Penamaan calon bagi pilihraya kecil Pendang dan Anak Bukit ditetapkan pada 10 Julai ini, dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 18 Julai.
Ia diadakan ekoran kematian Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, yang mewakili kedua-dua kawasan tersebut pada 23 Jun yang lalu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now