KM Sarawak selar pembangkang 'lapar kuasa'

   

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyelar tindakan golongan tertentu yang bertindak untuk menghasut rakyat agar membenci kerajaan.

"Kita berpolitik untuk menentukan perjuangan kita dan tidak mengetepikan soal pokok untuk menolong rakyat. Sejak akhir-akhir ini, muncul golongan tertentu yang lapar dan dahaga untuk mendapat kuasa memekik sana sini menghasut rakyat.

"Kalau mereka mahu berjuang untuk rakyat dan negeri belajarlah bersungguh-sungguh bagaimana hendak berkhidmat kepada rakyat dan negara sebelum menjalankan perjuangan politik," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Taib, yang juga pengerusi BN negeri, berkata ahli politik pembangkang membuat janji-janji kosong dan mendakwa mereka boleh melakukan keajaiban bagi menggembirakan rakyat dan pengundi.

Sebagai contoh, mereka mendakwa boleh melindungi pelbagai perkara, mendapatkan lebih banyak wang daripada pembangunan tanah adat dan sebagainya, katanya.

"Masa depan rakyat, dengan kesedaran bahawa lebih baik mereka menyokong BN berbanding ahli politik pembangkang yang banyak bercakap. Mereka tidak dapat buktikan kemampuan mereka untuk membantu rakyat," kata Taib di majlis perasmian mesyuarat agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Kuching hari ini.

Sementara itu, Presiden SPDP Datuk Seri William Mawan Ikom menyeru semua komponen parti BN bekerjasama dari peringkat atas hingga ke akar umbi untuk menghadapi sebarang cabaran dan kritikan yang boleh menggugat keutuhan BN dan menukar corak politik negeri Sarawak.

"Tidak ada satu parti komponen boleh menganggap bahawa dia adalah lebih penting atau berkuasa daripada yang lain. Dalam keadaan susah atau senang, kita mesti bersatu dalam BN," katanya.

Untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang, Mawan menyeru pemimpin SPDP di peringkat bahagian dan cawangan untuk menangani isu seperti pembangunan tanah, kaum Penan dan alam sekitar yang dimainkan pembangkang untuk memesongkan rakyat, khususnya di luar bandar.

"Saya berharap pemimpin SPDP di peringkat bahagian dan cawangan untuk mengambil tindakan proaktif dengan memberi penerangan lengkap kepada penduduk di luar bandar melalui sesi dialog dan perjuangan sosial di peringkat akar umbi untuk memastikan penyokong dan penduduk di luar bandar tidak terpengaruh dengan kempen pembangkang," katanya. BERNAMA

Malaysiakini
terkini untuk anda