Jangan lengahkan kes rayuan Anwar: Pemuda Keadilan
Pemuda Keadilan menggesa Ketua Hakim Negara Tun Mohd Dzaiddin Abdullah supaya jangan melengah-lengahkan keputusan penghakiman terhadap rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tuduhan salahguna kuasa.
Naib ketua Pemuda Keadilan, Muhammad Zahid Md Arip, berkata, beliau tidak mahu kelewatan itu ditafsirkan oleh rakyat sebagai adanya tekanan daripada pemimpin-pemimpin politik terhadap ketua badan kehakiman itu.
"Pemuda Keadilan menuntut agar keadilan yang dijanjikan oleh Dzaiddin dapat ditegakkan dalam kes ini (Anwar) semasa mengambil alih tugas ketua hakim negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Augustine Paul bertarikh April 14, 1999 yang telah menjatuhkan hukuman penjara terhadap Anwar atas kesalahan salahguna kuasa.
Bekas menteri itu juga sedang menjalani hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat.
Ambil alih tugas
Pemuda Keadilan juga mahu Dzaiddin melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih, sesuai dengan kewibawaannya sebagai seorang hakim yang berprinsip.
Menurut Zahid, berkata Dzaiddin perlu berlaku adil jika beliau tidak mahu disamakan dengan beberapa hakim yang mana kewibawaan mereka telah dipersoalkan.
Beliau juga mengingatkan Dzaiddin mengenai janji yang dibuatnya ketika mengambil alih jawatan Ketua Hakim Negara daripada Tun Eusoff Chin, untuk memulihkan imej badan kehakiman negara.
"Rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap janjinya itu kerana perlantikan beliau dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu, sekalipun nama beliau tidak dicadangkan kerajaan," kata Zahid dalam satu kenyataannya hari ini.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now