Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Gus Dur pemimpin yang mendahului zamannya'
Diterbitkan:  Dec 31, 2009 7:21 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mantan presiden Indonesia Abdurrahman Wahid dan rakyat Indonesia atas kematiannya.

Pemimpin Indonesia itu, dengan panggilan mesra Gus Dur, 69, meninggal akibat komplikasi kesihatan di Jakarta petang semalam.

jakarta 141109 gus dur Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyampaikan ucapan takziah dan melahirkan rasa sedihnya kepada keluarga bekas presiden Indonesia itu.

Menurut Najib, impak Gus Dur dalam pembentukan Indonesia tidak dapat dipandang ringan.

"Selaku negarawan dan cendekiawan, beliau berjuang untuk membawa perubahan dan reformasi yang mengandungi nilai-nilai Islam," kata perdana menteri mengenai tinggalan Gus Dur dalam blognya www.1malaysia.com.my.

"Beliau merupakan seorang pemimpin yang mendahului zamannya dan tokoh yang tegas mempercayai tentang pentingnya toleransi dan perpaduan, dan tentang perlunya melindungi pihak yang lemah termasuk golongan minoriti".

Najib berkata Gus Dur sering mendesak pentadbir untuk menjadikan proses lebih mudah demi faedah rakyat.

"Dari kepimpinannya di Nahdatul Ulama hingga kepada mengasaskan penubuhan Institiut Wahid, kerja-kerja amal beliau harus menjadi contoh untuk ikutan semua," kata beliau.

"Semoga kepercayaan dan nilai-nilai beliau akan terus hidup dalam diri orang-orang lain yang mengingatinya".

Gus Dur menjadi presiden Indonesia keempat dari 1999 hingga 2001, dan pengasas Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), sebuah parti Islam.

Gur Dur menggantikan Presiden B.J. Habibie setelah dipilih oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) hasil pilihan raya umum (Pemilu) 1999.

Dilahirkan pada 4 Ogos, 1940, di Jombang, Jawa Timur, Gus Dur antara lainnya mendapat pendidikan di Universiti Baghdad, Iraq di Fakulti Adab Jurusan Sastera Arab pada tahun 1966 hingga 1970, serta Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir di Fakulti Syariah dari tahun 1964 hingga tahun 1966.

Beliau meninggalkan seorang balu Sinta Nuriyah dan empat orang anak perempuan Alissa Qotrunnada Munawaroh, Zannuba Arifah Chafsoh, Annita Hayatunnufus dan Inayah Wulandari.

Sementara itu, Dr mahathir pula berkata Gus Dur adalah seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan agama Islam.

"Walaupun ada ketikanya tidak bersetuju dengan pandangan beliau tetapi tetap hormat akan pandangan beliau," katanya kepada pemberita selepas menandatangani buku ucapan takziah atas kematian bekas presiden Indonesia itu di Kedutaan Indonesia hari ini.

Ketika ditanya apakah karakter Gus Dur yang agak kelakar itu menjadi antara kenangan yang diingati beliau mengenai Gus Dur, Dr Mahathir sambil tersenyum berkata: "Beliau selalu ada cerita lucu untuk diceritakan kepada kami walaupun pada ketika itu kami sedang berbincang perkara yang serius."

Pada pukul 8.10 pagi ini (Waktu Indonesia Barat) jenazah Gus Dur diterbangkan dengan pesawat Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara dari pangkalan udara Halim Perdana Kusuma ke Surabaya.

Jenazah beliau sebelum itu dibawa keluar dari kediamannya di Ciganjur, Jakarta Selatan dalam sebuah kenderaan jenazah dengan penuh penghormatan negara pada satu upacara yang dipimpin Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Taufik Kiemas.

Gus Dur akan disemadikan bersebelahan dengan makam datuknya Hasyim Asy'ari, pengasas pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU) di kawasan permakaman keluarga di Pondok Pesantren (pusat pengajian Islam) Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur pada tengah hari ini.

Sementara itu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah memberi gelaran Bapa Pluralisme kepada bekas presiden Indonesia itu.

"Gus Dur menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah dan agama. Sesungguhnya dia adalah bapa pluralisme dan multi-kulturalisme.

"Selama masa kepemimpinannya pada 1999-2001, Gus Dur meletakkan kebijakan yang bukan saja mengakhiri diskriminasi tapi juga memuliakan pelbagai bentuk kemajmukan itu," kata Susilo dalam ucapan di akhir upacara pengebumian negara untuk Gus Dur di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur hari ini.

Gus Dur terkenal sebagai pemimpin yang tidak pernah membezakan golongan dan menjadi pejuang kaum minoriti dan semasa kepemimpinannya, beliau telah menyamakan kaum Tionghua di Indonesia dengan kaum pribumi dan Tahun Baru Cina telah dijadikan cuti umum.

Susilo menegaskan bahawa Gus Dur juga banyak memberi teladan mengenai Islam sebagai sumber perdamaian dan toleransi sehingga menginspirasi banyak tokoh sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

"Beliau juga tercatat sebagai peletak dasar dan perkembangan demokrasi di Indonesia. Pada awal tahun 90-an, Gus Dur bersama tokoh-tokoh lain mendirikan Forum Demokrasi yang menyemaikan gagasan-gagasan strategik bagi demokrasi dan pembangunan," katanya.

Gus Dur, kata Susilo adalah salah seorang guru dan putera terbaik bangsa yang telah memberi pengabdian terbaiknya sama ada kepada pertubuhan Nahdlatul Ulama yang dipimpinnya selama 15 tahun, mahupun kepada bangsa Indonesia.

Terdahulu tembakan rifel oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bergema di tanah perkuburan keluarganya di Pondok Pesantren Tebu Ireng itu ketika keranda berbalut bendera Merah Putih Indonesia, yang menempatkan jenazah Gus Dur diturunkan ke liang lahat untuk upacara pemakaman negara.

Tanah perkuburan itu merupakan sebuah kawasan terbuka berpagar, yang bersifat sangat sederhana.

Upacara pemakaman negara yang bermula pada pukul 1.15 tengah hari itu berlangsung kira-kira sejam dan dihadiri oleh ribuan para pembesar negara dan tetamu asing serta orang ramai yang datang memberi penghormatan kepada Gus Dur.

Malaysia diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom pada upacara itu, yang turut disertai oleh isterinya Datin Fatmawati Saidin, Timbalan Ketua Setiausaha III Wisma Putra Datuk Iskandar Sarudin dan Setiausaha Bahagian Asia Tenggara Wisma Putra Datuk Adnan Othman.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia turut menghadiri upacara itu. - Bernama

Lagi laporan mengenai Gus Dur


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS