PAS yakin isu hudud tidak jejaskan sokongan di Pendang, Anak Bukit

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

PAS percaya usaha Barisan Nasional (BN) untuk meraih undi dalam pilihanraya Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, dengan mempertikaikan undang-undang hudud tidak akan berjaya, kerana majoriti pengundi di situ mendapat pendidikan Islam yang cukup, termasuk di sekolah pondok.

Sebaliknya, kata Setiausaha Dewan Ulama PAS Kedah, Ismail Kamis mengingatkan bahawa ia boleh membawa padah kepada BN sendiri kerana pengundi di situ mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan berhubung Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas)

"Ianya boleh menjadi 'senjata makan tuan' bagi BN kerana 'senjata' tersebut tidak 'lut' (boleh tembus) di sini disebabkan pemahaman pengundi yang tinggi tentang ajaran Islam," kata Ismail, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lada kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, katanya PAS menjangka isu berhubung undang-undang jenayah Syariah itu yang bakal dijadualkan dibentang di Dewan Negeri Terengganu dari 7 hingga 9 Julai ini, akan ditimbulkan oleh BN bagi menakut pengundi di Pendang dan Anak Bukit.

Draf Undang-Undang Syariah (Hudud dan Qisas) yang dikatakan "ciptaan PAS" tersebut mendapat tentangan hebat dari kepimpinan Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan kerana terdapat perkara-perkara tertentu yang dikatakan menganiya golongan wanita dan tidak seperti yang disarankan oleh Islam.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah berkata kepada pemberita semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini bahawa Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang "akan masuk ke neraka" sekiranya terus mahu melaksanakan undang-undang yang dikatakan tidak adil tersebut.

Keyakinan pengundi

Sehubungan itu, Ismail berkata, PAS sudah bersedia untuk memberikan penjelasan yang sebenarnya mengenai perkara tersebut sekiranya ditimbulkan oleh BN semasa tempoh berkempen nanti.

Malahan, katanya, penjelasan PAS pasti akan menambahkan lagi keyakinan pengundi terhadap keadilan undang-undang Islam, kerana rata-rata pengundi di kawasan berkenaan mempunyai latarbelakang pendidikan agama dari sekolah pondok.

Bagaimanapun, katanya PAS akan tetap berhati-hati dengan taktik BN yang didakwanya mungkin mengguna wang bagi memancing undi.

"Bagi mereka yang sudah tetap pendiriannya dengan PAS, tentulah umpan wang ringgit tidak menjadi masalah, tetapi ada juga mereka yang 'di atas pagar'...sedikit sebanyak, akan termakan dengan umpan tersebut," katanya.

Selain itu, Ismail juga melahirkan kebimbangan PAS mengenai apa yang didakwa sebagai 'kecacatan' daftar pemilih yang baru dikemaskini oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

"Kami takut kalau-kalau ada ahli PAS yang tidak dapat membuang undi kerana nama mereka tidak tersenarai sebagai pengundi dalam daftar pemilih yang baru dikemaskini itu," katanya

Peratusan pengundi

Menurut SPR, jumlah pemilih bagi DUN Anak Bukit ialah 19,399 orang, terdiri daripada Melayu 16,889 orang (87.06 peratus), Cina 2,151 (11.09 peratus), India 290 (1.49 peratus) dan kaum lain 69 (0.36 peratus).

Bagi kawasan Parlimen Pendang pula, terdapat 53,128 pengundi dengan pengundi Melayu 46,630 (87.77 peratus), Cina 3,403 (6.4 peratus), India 487 (0.92 peratus) dan kaum lain 2,608 (4.91 peratus).

Pilihanraya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan itu Datuk Fadzil Noor, yang juga Presiden PAS pada 23 Jun lepas. Penamaan calon bagi kedua-dua kawasan itu ditetapkan 10 Julai dan pengundian 18 Julai.

Dalam pilihanraya umum 1999, Parlimen Pendang mempunyai 53,388 pengundi sementara DUN Anak Bukit mendaftarkan 19,723 pengundi.

Sebanyak 44 saluran mengundi akan dibuka di DUN Anak Bukit dengan diawasi 230 petugas dan di Parlimen Pendang sebanyak 120 saluran mengundi dengan 590 petugas.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In