Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu 'Allah': K'jaan tidak halang suarakan pendapat
Diterbitkan:  Jan 6, 2010 9:50 PM
Dikemaskini: Jan 7, 2010 1:17 AM

Kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan  pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, dengan syarat ia tidak menjejaskan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian juga akan melakukan pemantauan terhadap laman-laman blog berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan jika ia mengancam keselamatan negara.

    

"Jika menjejaskan keselamatan, itu memang tugas kita untuk memastikan bahawa tindakan mereka itu akan diadili, atau ambil tindakan sebelum ia berlarutan dan wujud insiden yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi Jumaat ini bagi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain.

    

Ditanya sama ada kementerian akan membenarkan demonstrasi sedemikian diadakan, beliau berkata: "Buat masa ini, dalam keadaan seperti ini, jika tidak dibenarkan, ia akan mewujudkan emosi dan jika dibenarkan, emosi itu akan sampai ke tahap yang tidak dapat dikawal, ini akan menjejaskan keselamatan negara," katanya.

    

Ditanya sama ada demonstrasi yang akan diadakan Jumaat ini akan dihalang oleh kementerian, beliau berkata: "Kita tengoklah, ada permohonan atau tidak. Di kementerian ini, kami tidak berdasarkan kepada kemungkinan dari segi demonstrasi dan sebagainya. Mereka perlu memohon permit.

    

"Kami mempunyai kaedah untuk memantau apa yang dirancang tetapi pokok pangkalnya adalah soal keselamatan," katanya.

    

Hishammuddin turut meminta semua pihak agar bertenang bagi membolehkan proses mahkamah berjalan seperti yang diharapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini.

"Perkara ini sedang dibicarakan di mahkamah. Saya harap semua pihak agar tidak menggembar-gemburkan perkara ini lebih daripada apa yang sepatutnya," katanya.

    

Beliau berkata menjadi tugas kementerian untuk memastikan negara dan rakyat selamat dan mengenai isu sensitif dan beremosi, pihak berkuasa juga perlu bijak dan sabar dalam usaha menangani perkara itu.

    

"Isu berhubung agama dan kaum, sentiasa menjadi perkara yang sensitif yang boleh mengancam dan menidakkan keharmonian negara. Dalam hal ini, hanya pemimpin yang bijaksana, tidak ada kepentingan peribadi, politik atau kaum sahaja yang boleh membuat keputusan yang tepat.

    

"Ini satu perkara semua pemimpin kita tidak kira pembangkang atau kerajaan daripada merdeka lagi, memahami. Jangan main-main isu agama ini," katanya.

- Bernama

ADS