Mahkamah tolak rayuan Anwar
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan tuduhan menyalahguna kuasa dan hukuman penjara enam tahun.
Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak rayuannya dengan alasan tidak berlaku sebarang "kesilapan undang-undang' dan oleh itu, tidak berlaku ketidakadilan dalam keputusan awal mahkamah dalam kes tersebut.
Tiga orang hakim, yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Mohamed Dzaiddin Abdullah, mendengar kes rayuan itu. Dua hakim lagi ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Steve Shim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Haidar Mohd Noor.
Anwar didapati bersalah atas tuduhan menyalahguna kuasa dan dijatuhkan hukuman enam tahun penjara pada 1999.
Ketika mengulas keputusan itu, Anwar menyifatkannya sebagai "satu pengkhianatan yang dahsyat" terhadap keyakinan umum kepada bidang kehakiman.
Kira-kira jam 10 pagi, Dzaiddin muncul dan mengumumkan keputusan penal hakim rayuan itu, tanpa membaca keputusan bertulis setebal 56 muka.
"Adalah mencukupi bagi saya untuk menyatakan di sini bahawa berdasarkan asas-asas (penghakiman) daripada mahkamah, tidak berlaku sebarang kesilapan undang-undang (dalam keputusan awal)," katanya.
Oleh itu, katanya, mahkamah menolak rayuan Anwar.
Arahan dari atas
Sementara itu, Anwar, dalam ulasannya kepada mahkamah, mengutuk bidang kehakiman yang didakwanya bersifat 'palsu' dengan cuba memperlihatkannya seolah-olah wujud "ketelusan".
Anwar juga mendakwa, semuanya dibuat berdasarkan kepada arahan dari 'atas'.
Ketika menjawab dakwaan itu, Dzaiddin berkata beliau akan memberi perhatian terhadap apa yang disebut oleh Anwar.
Sementara itu, polis menahan seorang lelaki yang tidak dikenali kerana mengedar risalah kepada orang ramai.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now