Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apartmen Anggerik: 50% terbiar ditinggal pemilik

Separuh daripada kira-kira 650 unit di Apartmen Anggerik di Taman Bukit Sentosa, Bukit Beruntung ditinggalkan pemiliknya menyebabkan kes kecurian semakin menjadi-jadi, kata seorang pemilik.

r manimala bukit beruntung Pengusaha kedai runcit, R Manimala berkata ramai pemilik dan penyewa rumah tidak lagi tinggal di kawasan yang disifatkan "rumah berhantu" oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerana kurang kemudahan dan jauh daripada tempat kerja.

Najib hari ini melawat kawasan berkenaan dan kemudianya mengumumkan peruntukan sebanyak RM15.6 juta untuk memperbaiki rumah-rumah di kawasan tersebut yang didapati mempunyai banyak kerosakan.

Menurut Manimala, ramai penduduk yang berpindah keluar sejak lima tahun dulu, apabila beliau mula menetap dan berniaga di situ.

"Ramai yang pindah keluar. Sekarang tempat ini banyak kes kecurian. Kabel elektrik dan pintu rumah pun dicuri," kata Manimala yang telah berniaga di situ sejak lima tahun lalu.

Tambahnya, beliau juga terpaksa menutup satu perusahaan siber kafenya tahun lalu apabila paip dalam dinding bangunan itu pecah.

apartment anggerik bukit beruntung "Sebanyak 15 komputer saya rosak kerana kena air, tak ada yang dapat diselamatkan," katanya kepada Malaysiakini yang meninjau kawasan itu petanga ini.

Katanya, beliau kini hanya bergantung kepada perusahaan kedai runcit untuk membesarkan empat orang anaknya.

Tambahnya, beliau juga menghadapi saingan daripada beberapa kedai runcit lain di kawasan itu, sedangkan jumlah pelanggan makin berkurangan.

Katanya, peruntukan yang diumumkan oleh Najib itu mungkin dapat memberi keselesaan kepada penghuni sedia ada.

"Saya tahu (perdana menteri) ada datang ke sini tadi," katanya yang turut mengetahui mengenai pengumuman peruntukan oleh Najib tengahari tadi.

"Tapi apa jaminan supaya orang kembali tinggal di sini?" soalnya, merujuk kepada 14 blok apartmen di situ yang kebanyakannya kosong.

"Kalau orang nak terus tinggal di sini, mereka akan ambil kira jika mudah untuk hantar anak ke sekolah atau hospital.

"Sekarang kalau demam biasa orang pergi ke klinik kerajaan di Serendah, tapi untuk kes lebih teruk kena pergi ke Hospital Selayang," katanya lagi.

apartment anggerik bukit beruntung2 Tambahnya, sewa serendah RM200 pun tetap tidak dapat menarik penduduk untuk terus tinggal di situ kerana ramai yang bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Najib hari ini menjelaskan, peruntukan tersebut akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabata Perdana Menteri.

"ICU akan ambil tindakan untuk panggil tender dan sebagainya untuk selesaikan perkara ini," katanya yang turut menyatakan rasa sedih atas masalah yang dialami oleh penduduk di kawasan itu.

"(Pangsapuri) itu boleh dikatakan tak boleh didiami lagi sebenarnya. Malah separuh dah pun pindah ke luar," katanya lagi dalam sidang media selepas melancarkan program Juara Rakyat di pekan Bukit Sentosa hari ini.

"Dan bila mereka pindah keluar mereka terpaksa bayar sewa dan ansurans lagi. Jadi ini (menjadi) beban mereka terlalu berat dan mereka merayu kepada saya supaya diambil tindakan kepada perkara ni sudahpun melampaui lapan tahun lamanya.

"Ini bukan perkara baru tapi sekian lama tak dapat diatasi masalah ini jadi saya ambil keputusan untuk umumkan peruntukan khas tadi sebanyak RM15.6 juta," tambahnya.

Ditanya sekiranya beliau juga akan mengambil tindakan serta merta ke atas masalah-masalah lain bagi penduduk di kawasan Taman Bukit Sentosa itu, Najib berkata tidak semua masalah yang dapat diselesaikan serta merta.

"Ada yang kena tunggu peruntukan RMK10 dan sebagainya. Apa yang penting adalah bahawa kita ini prihatin dan kita ambil tindakan berdasarkan kemampuan kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS