Isu peribadi Azalina jadi sasaran kempen PAS
PAS melancarkan serangan peribadi terhadap Ketua Puteri Umno Azalina Othman Said sebagai salah satu modal parti itu untuk menakutkan pengundi supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Anak Bukit dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit.
Pelbagai sepanduk dan poster yang mengecam tingkahlaku peribadi Azalina telah diketengahkan sebagai bahan kempen oleh pihak pembangkang, terutama ketika penamaan calon semalam.
Antaranya ialah poster yang berbunyi: "Awas!!! Jauhi Anak Anda Dari Puteri Umno" dan "Awas!!! Dia Datang" yang mendakwa Azalina sebagai seorang lesbian, serta meminta pengundi agar menjauhi anak-anak mereka dari Puteri Umno.
Keratan tabloid mingguan Perdana Sari terbitan penulis kontroversi Khalid Jafri, juga turut ditampal sebelah menyebelah dengan wajah Azalina untuk meyakinkan pengundi di DUN Anak Bukit yang ketua Puteri Umno itu seorang yang tidak bemoral.
Tiga bulan lalu,
Perdana Sari
telah menyiarkan laporan yang mendakwa Azalina yang berusia 38 tahun itu, mempunyai hubungan dengan isteri seorang ahli perniagaan terkenal.
Isu peribadi
Selain itu, Perdana Sari turut mendakwa bahawa Azalina telah menyalahgunakan wang pergerakan Puteri Umno untuk membeli sebuah kereta mewah yang bernilai kira-kira RM 300,000 sebagai hadiah harijadi kepada kekasihnya itu.
Khalid juga merupakan penulis buku kontroversial '50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri' yang mengandungi dakwaan salahlaku seks terhadap bekas Timbaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ceramah sulung untuk pilihanraya kecil Anak Bukit malam tadi, Ahli Parlimen PAS Kuala Kedah, Mohamad Sabu menimbulkan kembali isu Azalina itu.
Ceramah tersebut, yang diadakan di pusat gerakan Keadilan dihadiri oleh kira-kira 3,000 penyokong parti itu.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Puteri Umno Kedah, Zuraini Kamal, berkata pergerakan itu sudah menjangka pihak pembangkang akan menggunakan isu Azalina sebagai bahan kempen mereka.
"Sebenarnya pembangkang amat gerun dengan kehadiran Puteri Umno. Oleh kerana mereka tidak ada modal, jadi mereka menggunakan isu peribadi untuk mendapatkan undi," katanya kepada malaysiakini.
Keluarga angkat
Zuraini juga menganggap tindakan pembangkang membangkitkan isu Azalina sebagai satu bentuk 'publisiti" untuk Puteri Umno, khususnya sepanjang kempen pilihanraya kecil kali ini.
"Tengoklah, bila (Datuk) Shahnon Ahmad menulis buku Shit , media kerap mengecamnya. Yang untung ialah Shahnon sendiri kerana publisiti yang meluas itu," kata Zuraini lagi.
Ditanya adakah Puteri Umno akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tohmahan kepada Azalina sepanjang tempoh kempen ini, beliau berkata, Puteri akan memantau kempen pihak pembangkang untuk mempertimbangkan tindakan selanjutnya.
"Kita serahkan saja perkara ini kepada Biro Undang-Undang Puteri Umno," katanya.
Azalina tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan.
Dalam perkembangan berkaitan, Puteri Umno mempergiatkan usaha mereka untuk mendapatkan lebih ramai lagi "keluarga angkat" semasa kempen pilihanraya kali ini.
"Kami mensasarkan sekurang-kurangnya 500 keluarga, dan setakat ini kita sudah mendapat lebih 300 keluarga untuk menyertai kempen khidmat masyarakat kami," kata Zuraini.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now