Pelaksanaan SPKG di UKM dibantah

       

Mahasiwa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membantah sistem penilaian baru ko-kurikulum di universiti itu kerana mendakwa ia mempunyai unsur-unsur paksaan dan kredibiliti penilainya dipertikaikan.

Dikenali sebagai Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG), ia dikuatkuasakan di UKM mulai tahun lalu sebagai tambahan kepada sijil akademik Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).

Pelaksanaan SPKG itu dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kelmarin.

"Hasil tinjauan kita, kebanyakan mahasiswa tidak bersetuju dengan sistem ini. Mereka rasa terpaksa untuk hadiri program tersebut. Kadang-kadang sampai tengah malam," kata jurucakap kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M), Ammar Ismail.

Berikutan itu, katanya, pro-M - yang merupakan musuh tradisi pro-Aspirasi yang cenderung kepada kerajaan - menjalankan tinjauan khas berhubung keberkesanan SPKG mulai September tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ammar berkata, sistem SPKG yang mempunyai unsur paksaan itu bertentangan dengan semangat kesukarelaan yang menghidupkan persatuan-persatuan di universiti.

Sehubungan itu, beliau bimbang persatuan sedia ada di UKM akan 'berkubur' ekoran kebanyakan program SPKG difokuskan di peringkat kolej kediaman semata-mata.

"Dalam sistem ini, 51 peratus markahnya datang daripada aktiviti di kolej kediaman. Bagaimana dengan persatuan yang lain?" soal pelajar tahun akhir fakulti pendidikan itu.

Di peringkat kolej kediaman, markah pelajar antaranya akan dinilai oleh felo yang dilantik.

Menurut Ammar, mereka menuntut program SPKG diperluaskan supaya pihak yang lebih layak seperti pensyarah fakulti, dapat turut serta membuat penilaian yang lebih tepat.

Isu SPKG kini hangat diperkatakan oleh warga UKM menjelang pilihan raya kampus yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.

Malaysiakini
terkini untuk anda