Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Kemungkinan ada pihak guna samseng di Pendang dan Anak Bukit: Norian Mai
Published:  Jul 15, 2002 9:51 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Polis sedia menghadapi sebarang kemungkinan ada pihak tertentu menggunakan kumpulan samseng untuk mengugut atau menghalang pengundi terutama pada hari mengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit Khamis ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negera, Tan Sri Norian Mai memberi jaminan bahawa polis akan melindungi keselamatan para pengundi yang keluar membuang undi pada hari tersebut.

Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama , beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mendengar taklimat mengenai persiapan polis Kedah menghadapi pilihanraya kecil itu pada Khamis ini.

Taklimat itu disampaikan oleh Ketua Polis Kedah, DCP Datuk Supian Amat di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kedah hari ini. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Aseh Che Mat.

Norian berharap orang ramai dan pengundi khususnya tidak merasa bimbang dan ragu dengan kemampuan polis mengawal keadaan walaupun berlaku beberapa insiden kecil melibatkan penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Setakat ini belum ada tangkapan dibuat, dan berkata seramai 4,300 anggota polis termasuk pegawai akan bertugas di pilihan raya kecil itu.

Norian mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan dan kedua-dua parti yang bertanding kerana memberi kerjasama kepada polis mengekalkan keamanan sepanjang kempen yang bermula 10 Julai lalu.

Tindakan tegas

Bagaimanapun, polis akan tetap mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang bertindak melampau, antaranya mengadakan sekatan jalan raya yang dianggap satu kesalahan jenayah, kata Norian.

Setakat ini kebanyakan laporan yang diterima membabitkan perbuatan merosakkan poster parti-parti yang bertanding, tetapi tiada yang serius, katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang yang aduan mereka tidak diambil tindakan oleh polis, Norian menasihatkan mereka supaya merujuk kepada balai-balai polis untuk mengetahui perkembangannya.

Datuk Seri Aseh yang turut hadir pada sidang media itu pula berkata, pihaknya berpuas hati dengan persediaan yang dibuat oleh polis dalam menghadapi pilihan raya ini.

Beliau yakin pilihan raya ini yang berjalan lancar akan berakhir dengan baik tanpa menimbulkan isu-isu yang boleh menjejaskan kredibiliti pihak berkuasa.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, anggota Parlimen Pendang dan juga DUN Anak Bukit.

Pertandingan kali ini di Pendang menyaksikan calon BN Datuk Othman Abdul ditentang oleh Dr Mohd Hayati dari Pas sementara di Anak Bukit pula calon BN Datuk Zakaria Said berdepan dengan calon Pas Amiruddin Hamzah.

Taktik BN

Sementara itu, Pemangku Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa laporan kononnya ahli Pas mengasari petugas Barisan Nasional (BN) semasa kempen pilihanraya kecil kawasan Pendang dan Anak Bukit adalah perbuatan BN sendiri.

Katanya, perbuatan itu serupa dengan strategi BN semasa pilihanraya umum 1999 dan pilihan raya kecil lain untuk memburuk-burukkan Pas.

"Ini biasalah, Hitler pun pernah guna taktik begini, dia bakar pejabat parti Komunis, kemudian dia haramkannya (parti komunis itu)," kata Hadi pada sidang media di Bilik Gerakan Pas Anak Bukit, dekat sini.

Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai insiden yang berlaku di sepanjang kempen pilihan raya kecil di Kedah apabila petugas BN mendakwa mereka dikasari, dimaki dan dihalang daripada merayu undi.

Mengenai kenyataan pihak polis tidak akan membantu menguatkuasakan hukum Hudud di Terengganu dan Kelantan, Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu berkata peranan polis dalam pelaksanaan hukum Hudud adalah minimum.

"Tugas polis adalah mencegah berlakunya jenayah, kita tidak minta polis intai orang berzina, orang merompak," kata Hadi.

Tambah beliau, pelaksanaan hukum Hudud akan dilakukan oleh penguatkuasa Hudud yang turut terdiri daripada pegawai Jabatan Agama Islam.

ADS