BN dakwa ada petunjuk positif untuk rampas semula Anak Bukit

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Barisan Nasional (BN) yakin untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dari PAS berdasarkan beberapa petunjuk positif setelah beberapa hari kempen berjalan.

Menurut Ketua Penerangan Umno Bahagian Kuala Kedah, Nordin Salleh, petunjuk seperti itu tidak wujud semasa pilihanraya umum 1999, terutamanya kemampuan BN untuk menembusi beberapa kubu kuat PAS di Anak Bukit.

"Dulu (1999), kami langsung tidak boleh berceramah di kawasan tersebut kerana tidak dibenarkan oleh penduduk, tetapi sekarang keadaan sudah berubah," kata Nordin kepada malaysiakini .

Katanya, kawasan yang dulunya dianggap sebagai "kawasan hitam" bagi BN kini telah mula didekati anak-anak muda dengan kehadiran di ceramah sekitar 50 hingga 70 orang.

Sebaliknya, kata Nordin, ceramah PAS kian tidak diminati penduduk tempatan dengan kehadiran cuma beberapa kerat sahaja.

Selain itu, beliau turut mendakwa bahawa sekitar 50 hingga 60 anak muda turut menyertai Umno setiap hari, termasuk dua pemimpin pemuda cawangan PAS.

"Oleh kerana PAS agak tertekan kali ini, kami telah menasihati ahli-ahli Puteri dan Wanita Umno agar lebih berhati-hati semasa menjalankan kempen supaya tidak diapa-apakan oleh penyokong parti pembangkang," katanya lagi.

Sokongan meningkat

Pilihanraya kecil DUN Anak Bukit dan kerusi Parlimen Pendang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Fadzil Noor pada 23 Jun lalu selepas menjalani pembedahan pintas jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Sementara itu, calon PAS di Anak Bukit, Amiruddin Hamzah, 40, berkata pilihanraya kecil Anak Bukit ini tidak boleh dijadikan ukuran kepada peningkatan populariti BN.

Berdasarkan pengamatannya, peluang untuk mempertahankan kerusi Anak Bukit adalah amat cerah kerana "kemana sahaja saya pergi, ramai yang menyatakan sokongan mereka terhadap PAS".

Bagaimanapun, Amiruddin mengakui bahawa BN mempunyai kelebihan di dalam pilihanraya kecil kerana mereka menggunakan apa sahaja jentera kerajaan untuk memastikan kemenangan.

"Contohnya, hari ini Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad) datang ke sini sebagai Pengerusi BN, tetapi menggunakan sekolah untuk tujuan itu," ujar beliau.

Mengenai dakwaan dari Puteri dan Wanita Umno yangh mereka sering dikasari semasa menjalankan tugas, Amiruddin berkata PAS tidak mempunya sebarang masalah dengan kedua-dua pergerakan sayap Umno itu.

Sementara itu, agensi berita nasional, Bernama memetik Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai berkata ada kalangan pemimpin Umno yang wajar menerima maki hamun kerana tindakan mereka melawan Pas dengan cara tidak mengikut demokrasi.

Isu maki hamun

"Sudahlah tak boleh terima dasar Islam, dia lawan pula kita dengan habis-habisan, dengan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), dengan tak beri ceramah. Padanlah kena maki pun," katanya.

Menurutnya PAS sebagai parti politik mempunyai hak untuk mengadakan ceramah.

"PAS dan Umno ini sama-sama ada saham dalam jaga Malaysia ini. Kenapa dia (Umno) tak bagi saham kita. Hak dia pun dia, hak kita pun hak dia, mana boleh," katanya.

Beliau memberitahu demkian kepada pemberita di Kota Bharu hari ini sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang meminta pemimpin Pas menyatakan dengan jelas sebab mereka bertindak memaki hamum Umno.

Katanya, PAS bersengketa dengan Umno kerana parti itu enggan menerima al-Quran dan Hadis sebagai dasar utama perundangan negara.

"Ditulis dalam pelembagaan parti dan dalam pelembagaan negara bahawa sumber utama perundangan negara adalah al-Quran dan Hadis. Tidak boleh kita perintah negara mengikut sesuka hati mengikut sistem disebut sekular dan demokrasi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata perbalahan antara dua parti Melayu itu akan berakhir secara automatik apabila Umno yang menguasai kerajaan pusat mengubah dasar pelembagaan negara berasaskan kepada al-Quran dan Hadis.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In