Most Read
Most Commented
Read more like this

Mahkamah Rayuan telah menangguh keputusan rayuan sepasang suami isteri dan dua lelaki lain yang mengaku telah keluar dari Islam, untuk mendapat pengisytiharan hak kebebasan beragama.

Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad, Datuk Abdul Kadir Jasin dand Datuk Allaudin Mohd Sheriff juga menangguhkan keputusan rayuan "habeas corpus" oleh perayu-perayu itu supaya mereka dibebaskan dari tahanan di penjara Pengkalan Chepa.

Abdul Hamid berkata, mahkamah memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk membuat keputusan kerana ia perlu meneliti hujah kedua-dua belah pihak dan ia turut membabitkan persoalan perlembagaan dan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

"Kami hanya akan memberi keputusan mengikut undang-undang yang sedia ada," kata Abdul Hamid yang sebelum itu telah mendengar rayuan perayu.

Dalam rayuan itu, Mohmad Ya, 57, isterinya Kamariah Ali, 51; Mat Yaakob Ismail, 56, dan Daud Mamat, 62, menamakan Kerajaan Negeri Kelantan dan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka masing-masing kini menjalani hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah pada Nov 19, 2000 selepas didapati bersalah melanggar perintahnya supaya melapor diri dan bertaubat di pejabat Kadi kerana terlibat dengan ajaran sesat pada 1996.

Bukan Islam

Mohamad Ya dan Kamariah adalah bekas guru agama, manakala Mat Yaakob dan Daud masing-masing bekerja sendiri. Mereka diwakili peguam Jahaberdeen Mohd Yunus, Haris Ibrahim dan Mohana Kumar.

Kerajaan Negeri diwakili Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan, Jalaldin Husin manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Azahar Mohamed mewakili Kementerian Dalam Negeri.

Hari ini, Jaharbeedeen dalam hujahnya berkata, Mahkamah Syariah tidak ada bidangkuasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas perayu-perayu atas alasan bahawa Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) 1994 tidak terpakai ke atas orang bukan Islam.

"Mereka telahpun membuat satu deklarasi berkanun bahawa mereka bukan lagi penganut agama Islam. Dengan itu, undang-undang Syariah tidak terpakai ke atas mereka. Hak ini adalah jelas nyata di dalam Perlembagaan Persekutuan ," katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi telah tersilap apabila ia merujuk kepada undang-undang Syariah negeri ketika memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menghukum perayu-perayu berkenaan.

Haris pula berhujah bahawa Mahkamah Syariah tidak berhak untuk mengisytiharkan seseorang itu Islam atau tidak, kerana enakmen MAIK tidak mengandungi apa-apa peruntukan untuk membuat pengisytiharan itu.

Bidangkuasa tanpa had

Apabila ditanya mahkamah bidangkuasa mahkamah mana yang boleh menentukan jika seseorang itu Islam atau tidak, Haris berkata, ketiadaan peruntukan didalam Mahkamah Syariah membolehkan Mahkamah Sivil untuk membuat penentuan itu kerana ia mempunyai bidangkuasa tanpa had.

"Mahkamah juga boleh merujuk kembali kepada Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak kebebasan beragama. Perayu-perayu bukan lagi penganut agama Islam dan saya berhujah undang-undang membenarkan seseorang itu menganut tujuh agama yang berlainan (selain dari agama Islam) dalam seminggu jika itu yang dia mahu," kata Haris lagi.

Bagaimanupun, Jalaldin tidak bersetuju dengan hujahan Haris dan mengatakan bahawa ada peruntukan jelas didalam enakmen MAIK yang memberi Mahkamah Syariah bidangkuasa untuk mengendali kes-kes murtad.

Menurutnya, enakmen negeri itu tergunapakai ke atas semua perayu-perayu kerana ia jelas mengatakan bahawa Mahkamah Syariah sahaja yang berhak membuat penentuan sama ada seseorang itu masih Islam atau tidak dan bukannya mahkamah sivil.

"Dalam kes ini, perayu-perayu belum lagi mendapat pengesahan dari Mahkamah Syariah sebagai bukan Islam. Oleh itu mereka masih boleh dianggap sebagai orang Islam dan boleh dihukum di bawah peruntukan undang-undang Syariah negeri," katanya sambil menggesa mahkamah untuk menolak rayuan itu dengan kos.

Keempat-empat mereka telah membuat pengakuan sumpah berkanun di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Kuala Lumpur pada 8 Oktober 1998 bahawa mereka telah keluar dari agama Islam dengan kerelaan sendiri.

Semasa dibicarakan di Mahkamah Rayuan Syariah pada 20 November 2000, mereka meminta dikecualikan dari hukuman Syariah atas alasan mereka bukan lagi beragama Islam, tetapi ditolak oleh mahkamah tersebut


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS