Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani mendakwa dia telah dipukul di kaki dan tangan oleh majikan lelakinya menggunakan besi dan batang penyapu.
Inspektor Mohd Azan Radzali, 30, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang yang merupakan pegawai penyiasat kes itu berkata Muntik memberitahu beliau perkara itu semasa beliau melawat mangsa yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, sehari selepas dia ditemui di dalam tandas rumah majikannya pada 20 Okt tahun lalu.
"Bila saya nampak keadaan betis kaki kanannya di tengah-tengah ada lubang, saya tanya mangsa siapa buat dan dia kata dia kena pukul 'bapak' dengan besi dan bila saya tanya kenapa tangan kanannya sampai terlipat ke belakang, dia jawab dia kena pukul dengan 'bapak' guna batang penyapu.
"Saya juga tanya berapa lama dia dikurung dalam bilik air dan dia jawab dua hari, dua malam.
"Saya seterusnya tanya macam mana kamu boleh berada dalam bilik air itu dia kata 'bapak' angkat dia letak dalam bilik air. Saya juga tanya majikan perempuan ada pukul atau tidak dan dia jawab kakak (majikan perempuan)tidak pukul," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari keempat perbicaraan kes A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.
Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 dan 20 Okt tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Okt lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.
Tulang belakang Muntik patah
Mohd Azan seterusnya berkata semasa di wad ICU itu, beliau juga ternampak salinan x-ray milik mangsa yang menunjukkan bahagian tulang belakangnya kelihatan patah dan bila diajukan perkara itu kepada Dr Norliza Ibrahim yang berada bersama beliau, doktor berkenaan mengesahkan bahawa tulang belakang mangsa patah.
"Saya tanya Dr Norliza kalau tulang macam ini boleh jalan lagi ke tidak dan dia jawab tidak boleh dan bila saya tanya biasanya apa yang menyebabkan kecederaan seperti itu, Dr Norliza cakap biasanya ia berlaku disebabkan seseorang jatuh dari tempat tinggi atau dipukul dengan senjata yang kuat. Saya juga tanya Dr Norliza kalau kita hentak tulang belakang dengan kepala lutut,bolehkah ia patah dan Dr Norliza cakap boleh," katanya.
Terdahulu, saksi ke-14 pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa majikan perempuan mangsa iaitu isteri tertuduh ditangkap pada malam 20 Okt lalu untuk membantu siasatan.
Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada membuat sebarang catitan mengenai perbualannya dengan mangsa, Mohd Azan berkata beliau ada mencatit segala perbualan dengan Muntik di dalam diari rasminya dan turut merakamkan percakapan mangsa.
Selain dipukul, Muntik juga ditendang dan ditumbuk
"Dalam diari itu saya catit menurut keterangan Muntik, dia dipukul oleh majikan lelaki dengan besi di kaki kanan, tangan pula dipukul dengan batang penyapu. Dia dikurung dua hari, dua malam dan dipukul oleh majikan lelaki kerana dia pukul anak majikannya. Selain itu dia juga dipukul, ditendang, dan ditumbuk di seluruh badan," katanya.
Ditanya mengenai tahap kesedaran Muntik semasa percakapannya dirakamkan, Mohd Azan berkata mangsa dalam keadaan sedar tetapi suaranya lemah dan ketika ditanya khabarnya, mangsa menjawab keadaannya baik sedikit.
Seterusnya, Mohd Azan berkata pada 26 Okt tahun lalus, kira-kira jam 10.20 pagi, beliau menerima panggilan daripada Dr Norliza yang memaklumkan bahawa Muntik telah meninggal dunia dan beliau kemudian memaklumkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Klang, DSP Ruslan Ibrahim mengenai perkara itu.
"Tuan Ruslan berkata dia akan berbincang dengan Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusop mengenai tindakan selanjutnya dan tuan Ruslan kemudian memaklumkan kepada saya bahawa siasatan akan diambil alih oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Tarmudi," katanya.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.
- Bernama
