PAS dakwa tahan pengundi hantu

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Para petugas PAS bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dikatakan berjaya menahan sekurang-kurangnya 17 orang lelaki yang dipercayai "pengundi hantu" yang cuba membuang undi di Sekolah Kebangsaan Suka Menanti, Anak Bukit, sehingga jam 3.30 petang ini.

Ketua Pengarah Keselamatan PAS bagi DUN Anak Bukit, Mohd Fauze Hussain mendakwa bahawa beberapa orang lagi yang juga dipercayai pengundi hantu yang dibawa masuk ke Anak Bukit, turut ditahan oleh petugas PAS dan sedang disiasat pengenalan diri mereka.

"Petugas undi kami sebenarnya sudah kenal dengan pengundi di kawasan masing-masing, malahan sudah boleh mengagak sama ada seseorang itu cenderung untuk memangkah parti PAS atau pun Barisan Nasional, kerana Anak Bukit ini kecil kawasannya," kata Mohd Fauze ketika dihubungi malaysiakini tengahari tadi.

"Oleh itu, bila terdapat individu yang meragukan cuba membuang undi, maka kami mahukan mereka itu disiasat terlebih dahulu," katanya lagi.

Beliau mendakwa keraguan petugas PAS itu ternyata berasas kerana, setelah disoalsiasat oleh petugas PAS, 17 lelaki Melayu yang dipercayai dari sebuah negeri yang berjiran dengan Kedah, mengakui mereka diupah sebanyak RM300 oleh seorang pemimpin Umno dari negeri tersebut untuk datang mengundi di Anak Bukit.

Mohd Fauze memberitahu, adalah tidak sukar untuk mengenali pengundi hantu kerana mereka memperlihatkan ciri-ciri tertentu yang berbeza dari pengundi sebenar.

"Wajah mereka kelihatan seperti orang baru bangun tidur dan sentiasa nampak cemas. Mereka juga sentiasa berjalan secaraberkumpulan dan berbaris bersama-sama dan kami tahu mereka adalah orang luar yang tidak pernah tinggal atau berdaftar sebagai pengundi di Anak Bukit," jelasnya lagi.

Orang luar

"Kami mempunyai cukup maklumat untuk membuktikan bahawa mereka adalah pengundi hantu dan tidak akan sama sekali memberi peluang untuk mereka membuang undi," katanya.

Mohd Fauze hairan bagaimana "orang luar" yang didakwanya bukan dari Anak Bukit turut membawa slip mengundi.

Beliau juga hairan mengapa pegawai polis yang bertugas di situ tetap bertegas mahukan mereka yang ditahan oleh petugas PAS itu, dibenarkan membuang undi.

Katanya, petugas PAS turut mengesyaki ramai lagi pengundi hantu yang cuba untuk membuang undi di tempat pembuangan undi yang lain.

"Kami turut mendapat maklumat bahawa terdapat banyak bas yang membawa pengundi hantu masuk ke bandar Alor Setar dan pertugas kami akan memastikan bahawa mereka ini tidak "terlepas" sehingga boleh membuang undi," katanya.

Sementera itu, Nordin Salleh dari unit penerang BN menafikan keujudan pengundi hantu di Anak Bukit dan berkata bahawa itu adalah helah PAS.

Beliau turut berkata BN juga telah membuat beberapa laporan polis terhadap insiden kekasaran oleh penyokong PAS.

Tindakan PAS tersebut turut telah menimbulkan kemarahan pemimpin Barisan Nasional, termasuk Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein.

Beliau telah dilaporkan memberitahu pemberita di Alor Janggus, Anak Bukit, bahawa sekurang-kurangnya enam bas yang membawa penyokong Umno telah ditahan oleh petugas PAS dan dibawa ke Stadium Darul Aman awal pagi tadi.

Penyokong luar

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan motif kehadiran ratusan bas yang membawa penyokong PAS ke Anak Bukit dan Pendang.

"Kalau PAS kata BN bawa enam biji bas, apakah tujuan PAS membawa masuk ratusan biji bas dan pengundi apakah itu?" soalnya.

Selain itu, beliau turut mencabar ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar agar dapat memberikan jawapan kepada tindak-tanduk penyokong PAS yang dikata berlagak samseng dalam pilihanraya kecil kali ini.

Ketika dihubungi malaysiakini , seorang pegawai di Balai Polis Alor Star mengesahkan pihaknya menerima beberapa aduan mengenai penahanan bas yang membawa penyokong Umno dari memasuki bandar Alor Star seawal jam 6.45 pagi tadi.

Beliau berkata, lima bas telah ditahan kerana didakwa oleh penyokong PAS membawa pengundi hantu dari luar kawasan.

Katanya, polis juga menahan beberapa orang penyokong parti pembangkang tersebut dan mereka mungkin didakwa di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan atas cubaan menghalang pergerakan individu.

Selain itu, katanya, terdapat berpuluh-puluh kes lain yang berkaitan dengan pilihanraya yang telah dilaporkan di balai polis sekitar Anak Bukit dan Pendang oleh kedua-dua penyokong parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil kali ini.

Keadaan terkawal

Bagaimanapun, setakat jam 3.30 petang keadaan di Anak Bukit dilaporkan dalam keadaan terkawal walaupun dibanjiri ribuan kenderaan dari luar kawasan.

Lebih 50 peratus daripada 19,399 pengundi telah membuang undi di Anak Bukit setakat jam 1.30 petang tadi. Manakala di Pendang, 60 peratus daripada 53,128 pengundi telahpun membuang undi.

"Sekali imbas, seolah-olah ada satu pesta besar yang amat meriah di kawasan ini," kata seorang pemerhati di Anak Bukit.

Pilihanraya kecil DUN Anak Bukit diadakan serentak dengan pilihanraya kecil parlimen Pendang berikutan kematian wakil rakyat dua kawasan tersebut, Datuk Fadzil Noor, pada Jun 23 yang lalu.

Pertandingan dikedua-dua kawasan pilihanraya adalah satu sama satu, di antara BN dan PAS.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In