Sultan Johor mangkat

   

Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat pada jam 7.15 malam ini di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru selepas memerintah hampir tiga dekad. Baginda berusia 77 tahun.

Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Menurut menteri besar, jenazah baginda akan disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada 2 petang esok.

Baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Puteri, pagi tadi kerana gering.

azlan Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor unku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah minah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah smailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri unku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.

    

Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

    

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

    

Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

    

Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden.

Petang tadi, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Manakala pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar petang esok.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar malam ini.

   

"Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah dan anakanda-anakanda serta kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke India selama lima hari sejak Selasa lepas.

   

Najib berkata: "Baginda Sultan merupakan seorang raja yang amat prihatin terhadap segala perkembangan dalam negerinya dan juga sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

 

"Baginda memainkan peranan yang besar dalam pembangunan dan kejayaan negeri Johor dan selalu menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia bersatu padu," kata Perdana Menteri.

   

Berikutan kemangkatan Sultan Johor, Najib memendekkan lawatannya ke India dan berlepas pulang ke tanah air pada pukul 8.30 malam ini waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang  awal pagi esok.

   

Mengikut jadual, Najib sepatutnya berlepas pulang petang esok.

Malaysiakini
terkini untuk anda