Universiti Putra Malaysia (UPM) meminta kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) - yang mendakwa berlakunya salah guna kuasa dalam penganjuran sebuah kursus dua minggu lalu - tampil membuat aduan supaya tuduhan itu dapat disiasat.
"Kita pun tidak dengar apa-apa setakat ini. Tidak ada sebarang laporan diterima.
"Kita minta mereka tampil membuat aduan kepada naib canselor supaya perkara tersebut boleh disiasat," kata ketua bahagian komunikasi korporat UPM Abdullah Arsyad.
Pagi ini, kumpulan Pro-M universiti berkenaan menyerahkan memorandum kepada NGO Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi Malaysia (GERAK) berhubung penganjuran program bina sahsiah di sebuah hotel di Sepang.
Mereka mendakwa kursus tiga hari itu hanya melibatkan pemimpin kumpulan Pro-Aspirasi (Pro-A) dan pihak yang tidak berkenaan, termasuk anggota keluar pegawai universiti.
Memorandum tersebut, yang disediakan pengerusi Pro-M UPM, Ahmad Faris Rakbi, antaranya mendakwa pihaknya mempunyai rekod berkaitan program tersebut, termasuk resit pembayaran dan senarai kehadiran di program berkenaan.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Abdullah bagaimanapun enggan membuat kesimpulan awal sama ada tuduhan tersebut mempunyai asas atau pun tidak.
"Kita tidak tahu (betul atau tidak). Mungkin mereka ada bukti. Minta mereka tampil buat laporan bertulis supaya ia boleh disiasat dengan cepat," katanya.
