Pengundi Melayu tidak tolak PAS di Anak Bukit, Pendang: Mahfuz
Propaganda besar-besaran kerajaan Barisan Nasional (BN), terutamanya melalui media elektronik, masih gagal meyakinkan pengundi Melayu supaya tidak mengundi PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit Khamis lalu.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar, berkata walaupun PAS tewas di Pendang dan hanya menang tipis di Anak Bukit, tetapi keputusan itu cukup untuk mencerminkan prestasi sebenar Umno dan masa depan PAS di Kedah.
"Secara keseluruhannya, kami melihat bahawa pengundi Melayu mengekalkan kesedaran berpolitik dan menolak Umno walaupun menghadapi pelbagai propaganda BN dan jentera kerajaan," kata Mahfuz dalam sidang akhbar di ibu pejabat PAS di Gombak, Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, analisa yang dibuat terhadap keputusan undi bagi setiap peti undi yang kesemua pengundinya adalah Melayu, terutama di saluran pengundi muda, mendapati sokongan mereka memihak kepada PAS.
"Manakala Umno pula mendapat sokongan besar di peti-peti undi yang pengundinya Cina dan Siam," katanya lagi.
Selain itu, kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, PAS juga berjaya mengekalkan sokongan pengundi Melayu yang meningkat sebanyak 129 di Pendang dan hanya merosot 182 undi di Anak Bukit.
Tidak terpengaruh
Katanya, Umno tidak boleh mendabik dada dengan kejayaan parti itu di Pendang yang menurut Mahfuz dibantu hampir 5,000 pengundi bukan Melayu.
Beliau mendakwa, ini kerana 22,000 ahli Umno di kawasan itu tidak semuanya mengundi Umno yang memperolehi 22,825 undi di Pendang.
Berdasarkan perkiraan itu, Mahfuz mendakwa sebahagian ahli Umno di Pendang turut mengundi PAS dalam pilihanraya kecil Khamis lalu.
Katanya, analisa yang dibuat menunjukkan pengundi Melayu tidak terpengaruh dengan gembar-gembur kerajaan dengan mengatakan bahawa terdapat ketidakadilan di dalam perundangan Islam, seperti undang-undang di Terengganu.
"Mungkin mereka boleh mengelirukan sebahagian besar pengundi bukan Islam... bagaimanapun, Pemuda PAS ingin merakamkan ucapan terimakasih kepada sebahagian lagi pengundi bukan Melayu yang menaruh keyakinan kepada PAS," katanya.
Dalam isu yang berkaitan, Mahfuz kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa pengundi di Anak Bukit adalah golongan "fanatik" yang akan tetap mengundi PAS walaupun parti pembangkang meletakkan "tunggul kayu" sebagai calonnya.
Tunggul kayu
"Jika dikira fanatik, maka pengundi Umno lebih fanatik kerana mereka mengundi calon-calon yang tidak mempunyai dasar perjuangan yang konsisten," katanya.
"Apakah Dr Mahathir merasakan calon Umno sangat berwibawa dan calon PAS seperti tunggul kayu, sedangkan rakyat melihat calon Umno menjadi lebih "tunggul kayu" kerana tidak menyuarakan kepentingan rakyat di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen," tambah Mahfuz.
Oleh itu, katanya, adalah wajar bagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir kerana kenyataan beliau yang tidak demokratik itu.
Dalam pilihanraya kecil DUN di Anak Bukit Khamis lalu, calon PAS Amiruddin Hamzah yang juga seorang jurutera telah menewaskan calon BN, Datuk Zakaria Said, seorang bekas guru, dengan kelebihan 508 undi.
Sementara itu, calon BN di Pendang Datuk Othman Abdul berjaya merampas semula kerusi Parlimen itu setelah mengalahkan calon PAS, Dr Mohd Hayati Othman, seorang doktor perubatan, dengan kelebihan 283 undi.
Pilihanraya kecil DUN dan Parlimen tersebut diadakan ekoran kematian Presiden PAS Datuk Fadzil Noor pada Jun 23 lalu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now