Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tunku Ismail dimasyhur Tunku Mahkota Johor
Diterbitkan:  Jan 28, 2010 5:49 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor, hari ini.

Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tuboh Negeri Johor 1895, diisytiharkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, di Istana Besar, di Johor Baharu, pada pukul 3.20 petang.

"Setelah diisytiharkan sebagai sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tuboh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tuboh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenaan dilantik sebagai waris takhta Johor.

Diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Baharu, Tunku Ismail merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Tunku Ismail dilantik sebagai Raja Muda Johor ketika ulangtahun keputeraan nenda baginda Almarhum Sultan Iskandar pada 8 April 2006.

Tunku Ismail memulakan persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Baharu dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Joseph, Johor Baharu sebelum meneruskan pengajian di Australian International School, Singapura dan Hale School, Perth, Australia, mulai tahun 1999 hingga 2002.

Untuk tujuan pendidikan dan disiplin yang tinggi setaraf dengan bakal raja, Tunku Ismail dihantar menjalani latihan ketenteraan dan pelajaran sebagai pegawai kadet di akademi tentera terulung, Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, mulai Julai 2003.

Tunku Ismail dikurniakan pangkat Leftenan selepas tamat latihan pada 11 Dis 2004 dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India yang bertugas sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India.

- Bernama

ADS