MTEN kemuka cadangan ubah sistem pendidikan

comments     Published     Updated

Kumpulan cerdik pandai dalam sistem pendidikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengemukakan kepada kerajaan 13 campurtangan strategik yang difikirkan wajar dilaksanakan bagi mewujudkan tenaga kerja yang lebih dinamik.

Agensi berita nasional, Bernama melaporkan, pada asasnya, laporan itu yang disediakan oleh Badan Amanah Pemikir Kebangsaan atau 'National Brains Trust', mahu mengubah idea keseluruhan mengenai peperiksaan dalam sistem pendidikan dengan tekanan kepada aplikasi pengetahuan daripada belajar mengenai fakta.

Laporan 13 perkara itu kini sedang menunggu penelitian Kabinet, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Nordin Sopiee selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Pendidikan kebangsaan bertema Kecemerlangan Pendidikan dalam Ekonomi Pengetahuan Global yang Kompetitif, di sini Rabu.

"Laporan itu termasuk cadangan perubahan sistem pendidikan sedia ada kepada sistem yang lebih baik bagi memastikan Malaysia menghasilkan tenaga kerja yang berkemampuan bagi memenuhi kehendak negara pada masa depan serta berhadapan dengan cabaran globalisasi dan liberalisasi," katanya.

Dr Nordin berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pendidikan kebangsaan bertema Kecemerlangan Pendidikan dalam Ekonomi Pengetahuan Global yang Kompetitif.

Badan amanah itu, yang ditubuhkan kira-kira dua bulan lalu dan dianggotai 68 anggota daripada profesyen pendidikan, mengadakan 23 mesyuarat bagi menyediakan laporan itu.

Perubahan asas

Dr Nordin yang juga Presiden Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) berkata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai MTEN telah melihat laporan itu yang disediakan dengan bantuan Kementerian Pendidikan.

"Semua campurtangan dalam laporan itu akan mempunyai kesan pemangkin dalam mengubah sistem pendidikan sekarang kepada sistem yang boleh mewujudkan tenaga kerja berkelas dunia...ia boleh dilaksanakan tetapi agak sukar kerana ia membabitkan perubahan asas kepada sistem pendidikan," katanya.

Katanya mula-mula kerajaan perlu menjadikan pembangunan sumber manusia dan pendidikan sebagai keutamaan dalam tempoh dua dekad yang akan datang.

"Kedua, tenaga kerja mesti mahir bahasa Inggeris. Kita mesti cuba memastikan dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang, 20 peratus tenaga kerja kita fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan dalam masa yang sama majoriti penduduknya cekap berbahasa Inggeris," kata Dr Nordin.

Beliau juga mahu kerajaan memastikan pelaburan yang mencukupi untuk sekolah di negara ini, terutama dalam tahun-tahun asas kritikal di sekolah rendah.

Menurutnya pada masa ini negara membelanjakan 20 peratus atau lebih ke atas setiap pelajar universiti berbanding purata negara Dunia Pertama.

Sistem peperiksaan

Tetapi negara maju Dunia Pertama membelanjakan 4.6 kali lebih banyak ke atas pelajar sekolah rendah berbanding apa yang dilakukan oleh Malaysia.

"Keempat, kita mesti memastikan perubahan kurikulum dengan meringankan kurikulum sekolah yang berat sekarang dan memberi tumpuan kepada empat "Rs" -- Membaca, Menulis, Mengira dan berfikir," katanya.

Kelima, Dr Nordin berkata perubahan dalam sistem peperiksaan sekarang perlu dilakukan dengan tidak memberi tumpuan kepada menguji penguasaan kandungan tetapi pembangunan kemahiran dan kecekapan.

"Keenam, kita mesti memastikan perubahan pedagogi (amalan pendidikan) sedia di tempatnya. Kita mesti mengurangkan perhatian kepada fakta lapuk tetapi memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir. Sekolah mesti tidak bermaksud kesengsaraan. Belajar mesti dalam keadaan seronok. Guru mesti pemudah cara-pendidik, bukan pemudah cara-memanjakan murid," katanya.

Akhirnya, beliau berkata kerajaan mesti memastikan lonjakan dalam pendidikan tinggi dengan mewujudkan pusat kecemerlangan ilmu yang benar-benar padu.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In