BERITA

Langgar injuksi, naib canselor UUM didenda

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Feb 2010, 6:57 pagi

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Nordin Kardi hari ini dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau sebulan penjara selepas didapati bersalah menghina mahkamah apabila gagal melaksanakan satu perintah injunksi yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di Alor Setar, Julai lalu.

um book launching 021205 nordin kardi Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zamani Abdul Rahim yang membuat keputusan itu dalam kamarnya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Nordin ( kiri ), atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan jumlah itu dalam tempoh dua minggu mulai hari ini.

Pada 8 Julai lalu, sebuah syarikat penganjur program pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) UUM, memperoleh perintah injunksi Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang universiti itu meneruskan program berkenaan.

Peguam CV Krishnadevan yang mewakili KIC Management berkata UUM bagaimanapun gagal mematuhi perintah injunksi itu, menyebabkan pihak syarikat memfail waran komital pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu Pengarah Urusan KIC Management Azahar Abdul Rahman berkata syarikat itu memohon injunksi itu selepas UUM, melalui surat bertarikh 18 Mei 2009, membatalkan perjanjian usahasama dengan syarikat berkenaan untuk mengendalikan program itu, berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Azahar berkata mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 1 Sept 2008, pihak yang mahu menamatkan kontrak itu mesti memberikan notis secara bertulis selama enam bulan lebih awal dan selepas pelajar sesi terakhir menamatkan pengajian mereka.

Sementara itu peguam Datuk Hashim Jahaya yang mewakili Nordin berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan merayu keputusan itu atau tidak.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.