Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Penceramah PAS pertahan dakwaan PM tonton video lucah

Penceramah PAS yang menimbulkan kontroversi dengan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah menonton video lucah bersama cucunya akan tetap mempertahankan kenyataannya di dalam ceramah beliau yang akan datang.

Bunyamin Yaacob menjelaskan bahawa beliau membuat kenyataan tersebut berdasarkan maklumat yang diperolehi dari sebuah akhbar harian, di mana Dr Mahathir menyatakan cucunya yang masih di peringkat tadika (lima atau enam tahun) juga terdedah kepada bahan lucah.

"Pada pandangan saya, dimanakah sumber bahan lucah tersebut sekiranya tidak dari rumah perdana menteri sendiri. Kalau ada, siapakah yang menontonnya?" jelas Bunyamin, ketika dihubungi oleh malaysiakini di rumahnya di Bachok, Kelantan.

"Saya rasa tak mungkin bagi seseorang kanak-kanak tadika pergi ke mana-mana untuk mendapatkan bahan lucah, melainkan jika bahan tersebut terdapat di dalam rumahnya sendiri," tambah beliau.

Selingan jenaka

Bunyamin berkata bahawa beliau sendiri hairan kenapa RTM begitu ghairah menayangkan video klip ceramahnya di dalam TV1 setiap malam, kerana ceramah mengenai perdana menteri menonton video lucah itu dibuat agak lama lalu.

"Agaknya mereka (kerajaan) sudah kehabisan modal untuk menyerang peribadi pemimpin PAS, setelah serangan ke atas Nik Aziz, Mohamad Sabu dan Hadi Awang tidak mendapat reaksi positif dari rakyat," katanya.

Katanya, ungkapan yang dibuat mengenai isu yang berkaitan dengan masalah pornografi di dalam beberapa ceramah tersebut bukanlah merupa "isu utama" yang dibangkitkan tetapi hanya sekadar "selingan jenaka" untuk menarik perhatian penonton.

Beliau menjelaskan, sebagai penceramah pembangkang, agenda utamanya ialah menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa negara seperti penyelewangan wang rakyat dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin.

"Kalau RTM benar-benar berani, mengapa tidak disiarkan sahaja keseluruhan ceramah saya tersebut, kerana bagi saya itu adalah lebih wajar untuk penonton membuat kesimpulan," kata bekas ahli parlimen Bachok tersebut.

Bunyamin, yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua kali dari tahun 1984 hingga 1988, berkata, buat masa ini terpulanglah kepada polis untuk mengambil tindakan keatas beliau sekiranya beliau benar-benar melakukan kesalahan.

"Kalau saya dikatakan berbohong, maknanya akhbar harian (berbahasa Melayu) yang melaporkan kenyataan perdana menteri itu pun berbohong jugalah," katanya.

Beliau menambah bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat penjelasan sekiranya didakwa di mahkamah.

Tayangan video klip Bunyamin dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah menimbulkan pelbagai reaksi dari pemimpin kerajaan yang menghentam kedua-dua pemimpin pembangkang itu.

Pemimpin 'biadap'

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa polis mengambil tindakan ke atas Bunyamin yang dikatakan memfitnah perdana menteri.

Sambil menyifatkan tindakan Bunyamin sebagai "biadap" Abdullah, yang juga Menteri Dalam Negeri, melahirkan rasa kesal beliau dengan PAS yang dikatakan berusaha bersungguh-sungguh untuk menanam kebencian rakyat kepada Dr Mahathir.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengecam Bunyamin, dengan alasan bahawa penceramah PAS tersebut adalah seorang yang tidak beretika dan telah kehabisan modal dalam meraih sokongan rakyat.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Keadilan, Muhammad Zahid Md Arip berkata pergerakan itu memandang serius dakwaan Bunyamin, dan mahukan polis segera menggeledah kediaman Perdana Menteri dalam menyiasat dakwaan tersebut.

"Adalah tidak adil hanya untuk menyatakan bahawa Bunyamin telah membuat fitnah sedangkan ucapan itu tidak disiarkan sepenuhnya dan pada masa yang sama pihak berkuasa, terutamanya polis, tidak membuat siasatan rapi berhubung dakwaan tersebut," katanya di dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Katanya, keengganan pihak berkuasa menggeledah kediaman Presiden Umno tersebut hanya akan mengesahkan keyakinan rakyat bahawa apa pun dakwaan kesalahan yang dilakukan oleh Dr Mahathir akan ditutup oleh pihak berkuasa.

ADS