Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Imej blog: PAS K'tan buat laporan polis
Diterbitkan:  Feb 7, 2010 10:43 PM
Dikemaskini: Feb 8, 2010 3:58 AM

PAS Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung ilustrasi grafik yang bersifat provokatif membabitkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah laman blog.  

    

Setiausaha Keselamatannya Mejar (B), Mohamad Ibrahim membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu  pukul 12 tengah hari.

Beliau diiringi 20 anggota PAS termasuk Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Hisham Fauzi.

    

Mohamad berkata beliau membuat laporan itu kerana berpendapat tindakan penulis blog itu adalah bersifat provokatif dan bertentangan dengan undang-undang.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Nik Aziz kesal dengan lakaran mengaibkan di blog tersebut yang membabitkan dirinya dan Anwar.

Katanya beliau tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis mengenai perlakuan tersebut sekiranya tiada orang berbuat demikian.

Namun beliau amat berterima kasih kepada pihak yang telah terlebih dahulu membuat laporan polis berhubung fitnah tersebut.

“Saya ucap terima kasihlah kepada pihak yang membuat laporan polis terhadap perkara itu,” katanya selepas menghadiri satu majlis di Machang semalam.

Menurut Harakahdaily, blog jeffrydamien09.blogspot.com menyiarkan gambar yang telah diubahsuai mempamerkan aksi melampau terhadap Nik Abdul dan Anwar.

Ekoran itu seorang bekas pegawai tentera membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD) di Pengkalan Chepa berhubung penghinaan tersebut.

Mejar (B) Mohamad Ibrahim, 57 yang juga Setiausaha Keselamatan PAS Kelantan membuat laporan polis dan mendesak pihak polis menyiasat bloger terbabit serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan bloger terbabit bercanggah dengan undang-undang dan boleh mencetuskan provokasi melampau,” katanya dalam laporan berkenaan.

Beliau yang tinggal di Kampung Baung, Pengkalan Chepa membuat laporan polis itu kira-kira jam 11.30 pagi dengan ditemani ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Hisham Fauzi berkata, perbuatan itu amat tidak wajar dilakukan dan bersifat provokatif yang boleh menyebab berlakunya ketidakstabilan politik negara.

“Tindakan itu juga tidak bertanggungjawab. Kami memohon pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada bloger terbabit kerana bertindak di luar batasan,” tegasnya.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, siasatan boleh dibuat mengikut Akta Multimedia, Akta Fitnah dan Kanun Keseksaan yang mempunyai peruntukan jelas mengenai perbuatan fitnah.

ADS