Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Lebih mudah belajar Sains, Matematik di dalam bahasa ibunda

Kajian yang dibuat di seluruh dunia menunjukkan bahawa pelajar peringkat rendah akan dapat menguasai pelajaran dengan lebih baik sekiranya ilmu tersebut disalurkan melalui bahasa ibunda masing-masing.

Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi), Prof Dr Shaharir Mohamad Zain, menjelaskan bahawa pelbagai kajian yang mengaitkan prestasi pelajar dengan bahasa pengantar yang digunakan telah dijalankan diseluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat.

"Hasil dari kajian tersebut merumuskan bahawa pelajar, terutamanya pada peringkat sekolah rendah, akan dapat menerima pengetahuan dengan lebih mudah sekiranya bahasa ibunda mereka digunakan sebagai bahasa pengantar," Shaharir memberitahu malaysiakini hari ini.

Selaras dengan itu, Shaharir melahirkan rasa bimbangnya mengenai rancangan Kementerian Pendidikan untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik secara berperingkat di sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

"Masalahnya, bagaimanakah ilmu dapat dikembangkan dengan mudah sekiranya pelajar sendiri tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan [oleh guru] dalam bahasa yang agak asing bagi mereka," jelasnya.

Shaharir berkata beliau dapat membayangkan bahawa kesukaran untuk belajar akan memangsakan pelajar di luar bandar yang amat kurang pendedahan kepada Bahasa Inggeris.

"Bagaimanakah sebahagian besar dari pelajar luar bandar ini akan dapat mempelajari Sains dan Matematik, sedangkan mereka sendiri tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris," hujahnya.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian kecil masyarakat yang menggunakan Bahasa Inggeris mungkin tidak menghadapi masalah dengan langkah kerajaan ini.

Tiada kaitan

Selain itu, kajian-kajian yang lepas juga menunjukkan tiada kaitan antara peningkatan prestasi di dalam matapelajaran Sains dan Matematik dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar, kata beliau.

Shaharir turut menjelaskan bahawa sejarah telah membuktikan perkembangan ilmu di negara-negara maju, seperti di Eropah, dijalankan di dalam bahasa ibunda masing-masing.

"Walaupun orang-orang Eropah terpaksa menguasai Bahasa Arab atau Latin untuk mendapatkan ilmu pada masa lampau, mereka tetap menggunakan bahasa ibunda apabila mengembangkan ilmu tersebut di negara mereka sendiri.

"Alasannya, tentulah lebih mudah mengembangkan ilmu di dalam bahasa ibunda masing-masing," katanya.

Oleh itu, katanya, memang ada kewajaran bagi pihak-pihak tertentu di Malaysia mempertikaikan rancangan kerajaan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, termasuk sekolah aliran Cina.

"Bagi saya, tidak ada asas sama sekali untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, walaupun matlamatnya ialah untuk menguasai Bahasa Inggeris," kata Shaharir.

'Ujian kekuatan'

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang, hari ini mempersoalkan tindakan Pemuda Umno dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dalam mempersoalkan pendirian Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang mahu mengekalkan bahasa ibunda, termasuk di dalam matapelajaran Sains dan Matematik.

Menurut Lim, kenyataan Suhaimi bahawa SRJK Cina yang mahu mempertahankan bahasa ibunda supaya dihentikan bantuan kerajaan dan pelajar tidak diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

"Mengapakah isu pelajaran seperti ini mahu dijadikan ujian kekuatan antara Melayu dan Cina?" soal Lim.

Semasa Perhimpunan Agung Umno Jun lepas, Exco Pemuda Datuk Dr Zamri Abdul Kadir pernah memberi amaran keras kepada pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong dan kumpulan yang sealiran dengannya kerana dikatakan mewujudkan suasana pendidikan yang tidak berteraskan integrasi nasional di negara ini.

Dr Zamri Abdul Kadir berkata pergerakan itu bersedia "menentang sesiapa yang menghalang ke arah (kewujudan) integrasi nasional".

Amaran itu juga meliputi akhbar-akhbar berbahasa Cina yang mula memainkan isu dengan mendakwa penggunaan bahasa Inggeris sebagai cubaan awal untuk menghapuskan identiti sekolah aliran Cina.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS