Wakil-wakil pertubuhan Cina yang dikepalai oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Gabungan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), atau Dong Jiao Zong, hari ini sepakat membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Dalam sidang media selepas mesyuarat satu setengah jam di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur, Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuan, berkata wakil-wakil pertubuhan Cina sebenarnya akur dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, tetapi tidak melalui pendekatan yang dicadangkan.
"Pendekatan yang diambil haruslah mengambil kira pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri," Ong membaca kenyataan di dalam sidang media yang turut dihadiri sama oleh Pengerusi Dong Zong, Quek Suan Hiang.
Ong berkata bantahan terhadap pendekatan yang dicadangkan dibuat dengan mengambilkira beberapa faktor seperti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri, termasuk kesesuaian bahan pengajaran dan pembelajaran.
"[Selain itu], perguruan yang bertauliah, kaedah mengajar, kesempurnaan prasarana, objektif pendidikan dan sebagainya, [mestilah dipertimbangkan] supaya selaras dengan teori pendidikan yang diamalkan di sekolah," tambah beliau.
Ong berkata, mesyuarat memutuskan bahawa keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bukan sahaja mendapat pengesahan Bangsa-Bangsa Bersatu, malah dijadikan amalan umum seluruh dunia.
"Maka, semua mata pelajaran termasuk Sains dan Matematik seharusnya diajar di dalam bahasa ibunda yang paling mudah dikuasai pelajar untuk prestasi maksimum," katanya lagi.
Tidak wajar
Oleh itu, katanya, adalah tidak wajar sama sekali untuk menjadikan matapelajaran Sains dan Matematik sebagai pendekatan bagi memahirkan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Katanya, lebih 50 wakil pertubuhan-pertubuhan Cina bimbang bahawa pelajar akan menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa pengantar selain dari kesukaran memahami isi kandungan Matematik dan Sains itu sendiri jika Bahasa Inggeris digunakan.
"Akibatnya, bukan sahaja [pelajar] tidak dapat mencapai prestasi yang diharap-harapkan, malah [mungkin] timbul rasa takut dan bosan terhadap dua matapelajaran ini," kata Ong lagi.
Naib pengerusi Jiao Zong, Loot Ting Yee, menambah bahawa pendirian pertubuhan-pertubuhan Cina itu akan dijadikan resolusi untuk dibawa kepada kerajaan.
Loot, yang ditemui pemberita selepas sidang akhbar tersebut, turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan berbagai pihak untuk mencari penyelesaian kepada isu ini.
Disoal mengenai pendirian parti komponen Cina di dalam Barisan Nasional, iaitu MCA dan Gerakan, Loot berkata beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenainya.
"Mesyuarat hari ini akan disiarkan melalui media. Jadi parti-parti politik Cina tidak boleh lagi berdolak-dalih dan berkata mereka tidak tahu apa yang berlaku.
"Mereka juga patut tahu tanggungjawab kami serta sentimen masyarakat Cina mengenai hal ini," kata Loot lagi.
Lupakan SJKC
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Suhaimi Ibrahim berkata reaksi dari pertubuhan kaum Cina adalah seperti yang dijangkakan.
"GPMS berpendapat bahawa kerajaan haruslah melupakan sahaja SJKC kerana mereka tetap dengan pendirian mereka kerana mereka boleh berdikari walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan," katanya.
"Jika parti-parti politik Cina sendiri pun tidak boleh mempengaruhi mereka, saya rasa tidak perlulah Umno bertegas di dalam hal ini, kerana ini mungkin boleh menimbulkan perkara yang tidak diingini, seperti di dalam isu tuntutan Suqiu dahulu," kata Suhaimi.
Selaras dengan itu, katanya, GPMS akan mencadangkan agar kerajaan agar hanya mempertimbangkan pelajar keturunan Cina yang belajar di Sekolah Kebangsaan sahaja untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara dan seterusnya ke program Matrikulasi.
"Oleh itu, kerajaan mestilah membuktikan bahawa dasar yang dibuat adalah untuk kebaikan semua pihak," katanya.
Kerajaan telah memutuskan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah akan dijalankan secara berperingkat-peringkat sehingga tahun 2008, dimulakan dengan matapelajaran Sains dan Matematik, bermula tahun depan.
