Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anak Raja Petra tertelan pisau cukur
Diterbitkan:  Feb 11, 2010 9:39 AM
Dikemaskini: 4:58 AM

Raja Azman Raja Petra, anak lelaki editor Malaysia Today , Raja Petra Raja Kamarudin, yang baru-baru ini dipenjarakan kerana mencuri, dimasukkan ke hospital selepas dia dipercayai menelan sebilah pisau cukur.

Ketua Polis Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata Raja Azman, 34, dijumpai dalam keadaan lemah dalam sel penjaranya oleh petugas dari penjara Sungai Buloh semasa melakukan tugas rondaan pada Selasa petang.

raja azman raja petra Beliau berkata Raja Azman, yang mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan, segera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil.

Bapa mangsa, yang menulis dalam laman blognya Malaysia Today, mendakwa bahawa Raja Azman mengambil tindakan drastik itu memandangkan dia tidak lagi dapat manahan siksaan fizikal dan mental yang dikenakan terhadapnya oleh pihak berkuasa penjara.

Rahim bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Raja Petra itu.

"Siasatan masih di peringkat awal. Berilah kami masa," katanya ketika dihubungi.

    

Raja Azman, anak kedua Raja Petra, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tahun lalu terhadap empat tuduhan mencuri dan memiliki harta curi.

Dia dituduh mencuri sebuah telefon bimbit Nokia, sebuah jam tangan Seiko, dan sejambak kunci motosikal, kesemuanya bernilai kira-kira RM3,850, kepunyaan seorang pelajar, Saipul Adli Mohamad Yunus, 21, di No 16, Jalan Sastera, U2/1K,

Seksyen U2, Shah Alam, kira-kira 10 pagi, 24 April.

Dia juga dituduh mencuri sebuah motosikal Yamaha 135 LC bernilai kira-kira  RM6,000 daripada seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaludin, 23, di tempat dan masa yang sama.

- Bernama

Nota Editor:   Laporan Bernama di atas didapati mempunyai kesilapan. Raja Azman pada mulanya mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan mencuri dan memiliki barang-barang curi tetapi pada 19 Jun tahun lalu telah mengubah pengakuannya itu dan minta dibicarakan.

Lihat laporan Malaysiakini RPK's son changes plea, claims trial .

Raja Azman kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan kerana gagal membayar wang jaminan RM10,500.

ADS