Berita Malaysiakini

PKR pujuk penyokong dengan telefon, e-mel

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PKR akan menggiatkan siri ceramah bagi memujuk penyokongnya hadir ke mahkamah menyatakan sokongan terhadap Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berhadapan dengan tuduhan liwat.

Pengarah strategik parti itu, Tian Chua berkata komunikasi seperti itu lebih efektif untuk mendekati golongan berkenaan.

"Lagipun, kehadiran penyokong di mahkamah bukanlah pengukur yang baik untuk mengira sokongan orang ramai terhadap Anwar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

NONE Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran penyokong PKR yang dilihat semakin tidak berminat berkumpul di mahkamah sebagai tanda sokongan terhadap Anwar.

Tian menjelaskan, keadaan sekarang  berbeza dengan situasi pada "zaman reformasi" sepuluh tahun lalu yang dengan mudah boleh mengumpulkan ribuan penyokong pada satu-satu masa.

"Dahulu, kita boleh himpunkan sehingga 100,000 orang semasa reformasi, tetapi sekarang kaedah seperti itu tidak lagi praktikal.

"Waktu mahkamah ramai orang sedang bekerja, kalau dapat himpun pun sekitar 50 hingga 60 orang sahaja, jadi (usaha seperti ini) tidak praktikal," katanya yang juga ahli parlimen Batu.

Ajak dengan telefon, e-mel

Tambahnya, Pakatan Rakyat kini giat menganjurkan ceramah bagi menjelaskan topik panas tersebut di seluruh negara hampir setiap malam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pula berkata, selain mengadakan ceramah, pihaknya juga menggunakan pelbagai kaedah bagi menarik penyokong ke kompleks mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Usaha tersebut, tambahnya termasuklah melalui panggilan telefon dan e-mel.

"Ada hari kehadiran baik, ada hari kehadirannya kurang. Usaha ini kita jalankan berterusan," katanya.

"Sebenarnya sebagai orang parti, bila pemimpin kita dilibat dengan kes seperti ini, secara automatik kita akan jalankan usaha untuk galakkan penyokong supaya hadir beri sokongan.

Sebelum ini, Saifuddin berkata penyokong PKR dari semua negeri diwajibkan hadir di perbicaraan kes itu secara bergilir-gilir - sekurang-kurangnya 300 orang daripada lima cabang setiap hari.

Malah, beliau juga berharap kehadiran penyokong dapat mencecah angka ribuan dan mencapai kemuncaknya setiap hari Jumaat.

Bagaimanapun, hari pertama perbicaraan kes tersebut Selasa lalu menyaksikan sekitar 100 orang sahaja yang hadir menyatakan sokongan dan jumlah itu semakin berkurangan dari hari ke hari.

Tinjauan Malaysiakini semalam menunjukkan tiada lagi penyokong yang berkumpul, malah beberapa kerat penyokong yang hadir juga dilihat tidak lagi berminat membawa apa-apa sepanduk atau poster.