Pemuda PAS ingin berbincang dengan Dong Jiao Zong

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Pemuda PAS bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan pergerakan pendidikan Mandarin, Dong Jiao Zong, bagi membincangkan isu penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.

Ketuanya, Mahfuz Omar, berkata Biro Perpaduan Pemuda PAS sedang di dalam proses membuat jemputan kepada Dong Jiao Zong, dan berharap agar pertemuan itu dapat diadakan secepat mungkin.

"Bagi Pemuda PAS, isu penggunaan Bahasa Inggeris ini bukanlah merupakan masalah bagi sekolah Cina atau Tamil sahaja, tetapi sebenarnya masalah yang lebih besar bagi sekolah-sekolah kebangsaan, terutamanya di luar bandar," Mahfuz memberitahu malaysiakini hari ini.

Katanya, Pemuda PAS menganggap isu pendidikan yang dibincangkan sekarang adalah merupakan satu "isu bersama", dan bukannya masalah bagi sesuatu kaum sahaja.

"Pendekatan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik ini sebenarnya tidak sesuai bagi semua jenis sekolah," tambah beliau.

Mahfuz berkata pendekatan yang dicadangkan kerajaan itu bukanlah merupakan penyelesaian kepada masalah sebenar, kerana alasan kerajaan ialah pelajar di negara ini lemah di dalam Bahasa Inggeris, yang juga dianggap "bahasa ilmu".

"Sekiranya kerajaan mahu meningkatkan mutu Bahasa Inggeris, maka penyelesaiannya ialah mencari kaedah pembelajaran yang lebih sesuai serta menambah masa belajar bagi matapelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri," jelasnya.

Katanya, penggunaan Bahasa Inggeris bagi kedua matapelajaran tersebut juga adalah merupakan satu penghinaan kepada Bahasa Malaysia kerana secara tidak lansung memperkecilkan keupayaan bahasa kebangsaan.

"Hari ini, telah wujud berbagai istilah Sains dan Matematik serta bidang-bidang lain di dalam Bahasa Malaysia, sehinggakan negara ini mampu melahirkan ribuan ahli sains, termasuk di dalam bidang penerokaan angkasa lepas," katanya.

Tindakan 'bongkak'

Bagi pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof P Ramasamy, langkah kerajaan memperkenalkan pendekatan baru ini dengan tergesa-gesa tanpa mengambilkira pandangan dari mana-mana pihak bolehlah dianggap sebagai "bongkak".

"Sebenarnya, pencadang kepada pendekatan baru ini berfikiran sempit kerana dasar ini boleh memberikan kesan yang buruk kepada semua pihak, termasuk kerajaan sendiri," katanya ketika dihubungi.

"Bagi saya, pelajar keturunan Melayu di luar bandar mungkin menjadi mangsa yang teruk kepada sistem yang tidak pernah dilakukan di mana-mana pun di dunia ini," tambah Ramasamy lagi.

Oleh itu, katanya, Kementerian Pendidikan hendaklah mengkaji semula cadangan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik yang dijadualkan bemula secara berperingkat mulai tahun depan.

Sementara itu, Ketua Biro Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Azimi Daim, berkata pendirian Dong Jiao Zong untuk menolak dasar kerajaan adalah jelas, dan terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat sebarang keputusan.

"Bagi Pemuda Umno, tidak ada apa lagi yang kami boleh lakukan, kerana isu bahasa ini merupakan suatu perkara yang sensitif dan boleh merosakkan hubungan kaum jika terus dipertikaikan," katanya.

Azimi berkata, Pemuda Umno amat berhati-hati di dalam soal ini kerana bimbang menjejaskan hubungan baik dengan parti komponen Cina di dalam Barisan Nasional.

"Kami telah mencuba yang terbaik untuk meyakinkan semua pihak agar menerima dasar kerajaan, dan sekarang ini terpulanglah kepada kerajaan sendiri memutuskannya," kata Azimi.

Kawal keadaan

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, dalam kenyataanya berharap agar pihak-pihak yang terlibat di dalam isu ini, termasuk parti-parti politik, agar tidak begitu emosi dan mengakhirinya dengan sebarang ancaman kepada mana-mana pihak.

"Pemimpin-pemimpin parti politik hendaklah mengawal keadaan supaya tidak timbul sebarang krisis yang boleh mencemarkan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-45 tidak lami lagi, seperti apa yang pernah berlaku di dalam isu tuntutan Suqiu dua tahun lalu," kata Lim.

Semalam, wakil-wakil pertubuhan Cina yang dterajui oleh Dong Jiao Zong, sepakat membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Menurut Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Ong Chiow Chuan, wakil-wakil pertubuhan Cina sebenarnya akur dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, tetapi tidak melalui pendekatan yang dicadangkan.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In