BERITA

Kartika mengadap Tengku Mahkota Pahang

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Feb 2010, 1:54 tengahari

Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor akan diputuskan selepas pertemuannya dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pihaknya perlu menunggu maklum balas daripada pertemuan itu sebelum membuat tindakan susulan.

NONE "Kartika perlu menghadap dulu Tengku Mahkota, lepas itu barulah keputusan boleh dibuat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis akad nikah pasangan saudara baru Sheikh Adam Idham Fadhil, 27, dan Ling Suraiyah Foo Abdullah, 29, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hukuman sebat terhadap Kartika, 33, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lepas setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Abdul Manan berkata JAIP telah membuat persiapan untuk melaksanakan hukuman itu.

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sebelum ini bertitah baginda bersedia menerima menghadap Kartika berhubung isu penangguhan pelaksanaan hukuman sebat itu.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.