Masyarakat Cina tidak bantah naiktaraf bahasa Inggeris: Dr Ling
Masyarakat Cina tidak membantah usaha menaiktaraf bahasa Inggeris di sekolah-sekolah tetapi mahu dikaji terlebih dahulu cara yang terbaik untuk melaksanakannya, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik.
Katanya, sebarang keputusan mengenainya tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa atau menyentuh soal emosi atau politik, tetapi yang boleh membawa kebaikan kepada murid-murid sekolah.
"Kita perlu timbang dan teliti dengan halus bagaimana hendak melaksanakan dasar ini sebelum keputusan muktamad dibuat," agensi berita nasional
Bernama
memetik beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia di Taiping hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rais Yatim bahawa kerajaan mempunyai kuasa secukupnya untuk melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, termasuk di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil mengikut Akta Pendidikan 1996.
Penggunaan bahasa Inggeris itu akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan mulai tahun depan tetapi belum ada keputusan bilakah ia akan dilaksanakan di SRJK Cina dan Tamil.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Kabinet akan membincangkan perkara itu dalam mesyuaratnya esok.
Katanya, mesyuarat itu bagaimanapun, belum tentu akan membuat sebarang keputusan.
Jejas prestasi akademik
"Apa juga yang wajar dibincang, kita akan bincang berkaitan kes itu. Beberapa keputusan mungkin dibuat kalau kita bincang. Tak tahulah apa keputusan yang akan dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar antara industri dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Bangi, Selangor hari ini.
Cadangan itu mendapat tentangan tiga pertubuhan Cina - Persatuan Guru-guru Sekolah (Jiao Zong), Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor (DPCS) atas alasan ia boleh menghakis budaya masyarakat Cina serta menjejaskan prestasi akademik dan kecemerlangan pelajar dalam kedua-dua matapelajaran itu.
Bernama melapurkan Abdullah sebagai berkata kerajaan akan memutuskan bagaimana mahu melaksanakan cadangan itu di sekolah sekolah Cina dan Tamil.
"Pendidikan adalah subjek yang menyentuh semua orang. Banyak pihak bersangkut paut dengan pendidikan, sebab itu semua orang sentuh.
"Apa yang penting ialah kewajaran untuk melaksanakannya setelah mendengar semua pandangan, dan itulah yang akan kita ambil," katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad ketika ditanya sama ada kementerian akan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai cadangan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu berkata, kerajaan menyerahkannya kepada parti-parti politik yang mewakili kaum Cina untuk memberikan penjelasan.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now