Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Ezam dipenjara dua tahun kerana miliki dokumen rasmi kerajaan

Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Mohd Ezam Mohd Noor hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah memiliki dokumen rahsia rasmi kerajaan dan mengedarkannya kepada media, pada tahun 1999.

Hakim Wan Afrah Wan Ibrahim berkata hukuman yang dijatuhkan ke atas Ezam, 35, adalah berpatutan dan demi kepentingan awam. Beliau memerintahkan hukuman itu bermula hari ini.

Ezam yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem tahanan Kamunting di Perak, kelihatan tenang ketika Wan Afrah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Anggota keluarga dan penyokong beliau turut hadir dan memenuhi bilik mahkamah sejak awal pagi selain berkumpul di perkarangan bangunan mahkamah.

Wan Afrah berkata para peguam Ezam yang terdiri daripada Zainur Zakaria dan Raja Aziz Addruse, telah gagal membuktikan bahawa tertuduh tidak melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Selepas mendengar keterangan tertuduh dan para saksi, serta hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah di atas tuduhan terhadapnya.

Mengambil risiko

"Tertuduh, ketika membela diri, mengaku mengadakan sidang akhbar pada 6 November 1999 untuk mendedahkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, (Datuk Seri) Rafidah Aziz dan bekas ketua menteri Melaka, (Tan Sri) Rahim Thamby Chik, walaupun tertuduh tahu dokumen itu adalah rahsia rasmi, tetapi tetap mengambil risikonya," kata Wan Afrah.

Pada 21 Sept tahun lalu, Ezam diperintah membela diri terhadap tuduhan memiliki dokumen rahsia rasmi kerajaan dan mengedarkannya kepada wakil media berhubung siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Rafidah dan Rahim.

Ezam yang dihadapkan ke mahkamah pada 14 Januari 2000 didakwa melakukan kesalahan itu di ibu pejabat Keadilan di Pusat Perniagaan Phileo Damansara 11 di sini, pada pukul 12.45 tengah hari, 9 November1999.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8(1)(i) Akta Rahsia Rasmi yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi tujuh tahun.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, timbalan pegawai pendakwa, Vong Poh Fah berkata Ezam akan menjalani hukumannya di Penjara Kajang.

"Mengenai penahannya di bawah ISA di Kemunting, kami masih menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri," kata Vong.

Berlaku pergelutan

Ezam dibenarkan menemui anggota keluarganya selama sejam sebelum dibawa ke Kajang. Anak-anaknya Tihani, 9, Mohd Hasif, 5 dan Mohd Haris, 4 kelihatan memegang kertas yang bertulis,'Ayah kami seorang wira dan kami cinta padamu'.

Sementara itu, pergelutan berlaku di dalam bilik mahkamah di antara anggota polis dan penyokong Ezam apabila mereka berasak-asak untuk memeluknya selepas hukuman dijatuhkan. Pergelutan itu menyebabkan cermin mata Ezam pecah tetapi tiada tangkapan dibuat.

Penyokongnya juga melaung 'tidak adil" dan enggan berdiri ketika hakim Wan Afrah masuk dan meninggalkan bilik mahkamah.

Manakala kira-kira 100 penyokong Ezam di luar bangunan mahkmah melaungkan 'reformasi' dan 'Allahuakhbar' ketika Ezam muncul.

Lebih 50 anggota Unit Simpanan Khas berjaga-jaga di kawasan mahkamah manakala trak meriam air polis ditempatkan tidak jauh dari tempat berkenaan. Turut hadir ialah Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan pemimpin PAS Mohammad Sabu.

Menurut peguam Ezam, mereka akan mengemukkan rayuan tidak lama lagi.

ADS