Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mohd Shah cadang sambut raya tahun ini di Melaka
Diterbitkan:  Feb 23, 2010 10:04 AM
Dikemaskini: 2:11 AM

Pemandu di Jabatan Penuntut Malaysia, Mohd Shah Saemin yang mati dipercayai akibat ditikam dan dibelasah dengan tukul di Sydney, Australia pernah memberitahu keluarganya bahawa beliau mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama keluarganya di Melaka.

Bapa Allahyarham, Saemin Mongjin, 69, berkata kali terakhir anaknya itu pulang  menyambut Aidilfitri ialah tiga tahun lalu.

"Kira-kira tiga hari lepas, Allahyarham ada menghubungi ibunya (Misnah Kasri, 60,)  untuk bertanya khabar dan sempat berbual bersama saya," katanya kepada pemberita di Melaka.

Mohd Shah, 43, yang sudah menjadi warga Australia dan menetap di Sydney sejak tiga tahun lepas dilaporkan mati dalam satu serangan yang dipercayai berlaku selepas satu kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun punca kematian sebenarnya masih menjadi misteri kepada pihak berkuasa di sana.

Saksi dilaporkan sebagai berkata mereka melihat dua lelaki mengejar Mohd Shah di sebatang jalan raya, sebaik saja mangsa sampai di rumahnya di Leichhardt, sejurus selepas  tengah malam Isnin.

"Kami percaya telah berlaku satu kemalangan jalan raya sejurus sebelum serangan itu berlaku," kata Pemangku Supt Shayne Woolbank seperti yang dipetik agensi berita Australian Associated Press .

Saemin berkata beliau mengetahui tentang kematian anaknya itu selepas dihubungi rakan Allahyarham kira-kira 3 pagi tadi, yang menyatakan anaknya meninggal akibat kemalangan jalan raya.

"Pihak Konsulat Malaysia tempat anak saya bekerja juga menghubungi saya  kira-kira pukul 7 pagi semalam bagi memaklumkan perkara yang sama, katanya.

Beliau berkata jenazah Allahyarham yang dijangka tiba dalam tempoh dua atau tiga  hari lagi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak Paya di Melaka.

        

Allahyarham pernah bertugas dengan sebuah syarikat perkapalan selepas menamatkan  pengajian di Akademi Laut Malaysia di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, pada awal 80-an.

Saemin berkata anaknya kemudiannya menetap di Australia dan bekerja dengan sebuah rumah kebajikan selama lapan tahun sebelum menjadi pemandu.

Beliau berkata Allahyarham pernah berkahwin dengan wanita Australia yang memeluk Islam tetapi kemudiannya berpisah tanpa mempunyai anak.

- Bernama

ADS