Kabinet belum putuskan isu bahasa Inggeris
Kabinet masih belum dapat membuat sebarang keputusan mengenai isu penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) kerana belum menerima maklumbalas daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).
"(Oleh itu), tidak ada apa-apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, dan saya rasa Kabinet tidak akan membincangkan perkara ini sehingga parti-parti politik dalam kerajaan menyuarakan maklumbalas mereka mengenai perkara ini," kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet.
"Kami sedang menunggu maklumbalas yang tulen dari semua pihak (parti komponen BN) dan akan memberikan masa yang cukup untuk mereka berbuat demikian," kata Musa, yang enggan menjelaskan mengenai jangkamasa yang diberikan.
Ditanya sama ada kerajaan akan turut mempertimbangkan maklumbalas dari pertubuhan dan individu tertentu dalam menggariskan dasar pendidikan tersebut, Musa berkata: "Kita akan mempertimbangkan [pendapat] semua pihak dan Kabinet akan menentukannya".
Musa, yang enggan memberikan ruang yang cukup kepada pemberita untuk mengemukakan soalan, juga enggan memberikan jawapan jelas mengenai kedudukan SJKC, berikutan pertubuhan-pertubuhan Cina tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua matapelajaran tersebut.
Tidak wajar
Beliau juga menyifatkan sebagai "tidak adil" bagi pemberita bertanyakan soalan sama ada SJKC akan tetap menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik mulai tahun depan.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membayangkan mesyuarat Kabinet hari ini akan membincangkan cara pelaksanaan matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua sekolah, termasuk SJKC dan SJKT.
Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zong), Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Kesatuan Guru-Guru Besar Sekolah Cina Se-Malaysia dan Dewan Perhimpunan Cina Malaysia membantah penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik di SJKC.
Mereka memutuskan bahawa pendekatan untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris seperti yang dicadangkan adalah tidak wajar, sebaliknya mahu pendekatan yang diambil haruslah mengambil kira pengajaran dan pembelajaran matapelajaran bahasa Inggeris itu sendiri.
Mereka juga berpendapat bahawa ia juga perlu mengambilkira beberapa faktor seperti perguruan yang bertauliah, kaedah mengajar, kesempurnaan prasarana dan objektif pendidikan.
Perlu kajian
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik berkata semalam bahawa masyarakat Cina tidak membantah usaha menaiktaraf bahasa Inggeris di sekolah-sekolah tetapi mahu cara terbaik untuk melaksanakannya dikaji terlebih dahulu.
Bagaimanapun, beliau mahukan keputusan mengenainya tidak dibuat secara tergesa-gesa atau menyentuh soal emosi atau politik, sebaliknya untuk kebaikan murid-murid sekolah.
Ling berkata, MCA belum mengambil sebarang pendirian mengenai soal itu kerana para pemimpinnya di semua peringkat masih mengumpul maklumat balas dan mengadakan bertemu dengan pertubuhan-pertubuhan yang ada kaitan dengan pendidikan.
Katanya, MCA juga akan turut berbincang dengan beberapa parti komponen BN yang mewakili masyarakat Cina seperti Gerakan dan Parti Progresif Sabah (SAPP) sebelum membuat keputusan.
Parti pembangkang, PAS, juga tidak bersetuju dengan dasar kerajaan ini dengan mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menimbulkan perkara ini semata-mata untuk mendapatkan keuntungan politik.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now