Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dijangka mengadakan perjumpaan dengan Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim) dalam masa terdekat berhubung memorandum parti itu mengenai kes tembakan polis yang semakin meningkat di negara ini.

Memorandum itu mendedahkan kira-kira 1.3 orang mati ditembak polis setiap minggu dalam tempoh 10 tahun. Perangkaan itu yang menyebutkan 635 orang ditembak, termasuk 280 rakyat asing, diambil daripada kenyataan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam sidang Dewan Rakyat Mei tahun lalu.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam di Ibupejabat Polis Persekutuan Bukit Aman, Supritenden Benjamin Hasbie memberitahu malaysiakini hari ini bahawa polis itu telah menerima memorandum itu setebal 50 halaman dua hari lalu.

"Mereka (Prim) hendak berjumpa pucuk pimpinan polis (Tan Sri Norian Mai)," jelas Benjamin, sambil menyebutkan pertemuan beliau dengan wakil Prim R N Rajah dan empat lagi wakil parti itu ketika penyerahan memo itu.

Memorandum bertajuk Mesra Rakyat atau Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi ? disediakan oleh Jawatankuasa Pemantau Polis dan Hak Asasi Manusia parti itu asalnya diserahkan kepada Perdana Menteri dan salinannya kepada Ketua Polis Negara, Kementerian Dalam Negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim, Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, parti MIC, parti-parti pembangkang dan sebilangan badan bukan kerajaan (NGO).

Apabila ditanya langkah selanjutnya, Benjamin memaklumkan bahawa polis akan mengatur satu pertemuan dengan jawatankuasa berkenaan.

"Polis akan mengusahakan satu pertemuan dalam masa terdekat ini," katanya, dan selanjutnya menambah polis akan mengkaji memorandum berhubung salah laku kakitangan pasukan itu semasa menjalankan tugas.

Menurut satu laporan agensi berita Bernama , Prim berhasrat menemui Norian pada minggu depan.

Sementara itu apabila dihubungi malayskini tengah hari ini, Setiausaha Agung Prim, P Uthayakumar menjelaskan beliau belum dimaklumkan tentang pertemuan itu.

Benjamin berkata, jabatan itu berterima kasih terhadap pemantauan yang dijalankan oleh pihak awam, terutama daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan NGO, berhubung salah laku polis.

'Polis tidak bertindak sewenang-wenangnya'

Bagaimanapun beliau menegaskan polis "tidak bertindak sewenang-wenangnya" dan mereka terikat di bawah Akta Polis dan Seksyen 81, Kanun Keseksaan.

Uthayakumar, yang juga seorang peguam, turut menjelaskan laporan seumpama itu pernah dibuat kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad.

Menurutnya lagi, polis bagaimanapun "tidak mengambil berat dan memandang serius" apabila mengarahkan seorang pegawai polis peringkat bawahan untuk berbincang dengannya.

Pegawai itu membuat satu panggilan telefon dan bertanya, "apa masalah awak," jelas peguam itu lagi terhadap laporan beliau secara peribadi tiga tahun lalu.

"(Kes) tembakan mati telah berlarutan dan kita mahu mereka (polis) yang terlibat dihadapkan dengan tuduhan membunuh," ujar Uthayakumar lagi.

Uthayakumar semalam mencadangkan satu tribunal aduan dibetuk bagi menangani kes-kes seumpama ini. Tribunal tersebut dicadangkan melibatkan Suhakam, Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (Hakam), Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan jawatankuasa pemantau polis Prim.

"Kementerian Dalam Negeri juga perlu mengemukakan laporan ke Parlimen," katanya lagi.

Laporan sebelum ini

[#1]Average of 1.3 persons shot dead by police a week[/#]

[#2]Fatal police shootings[/#]

[#3]Indians dominate police shooting victims[/#]

[#4]OCPD should resign over 'shooting' case[/#]


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS