Pemuda Umno disaran berbincang dengan Dong Zong
Kumpulan Masyarakat Prihatin yang mewakili pertubuhan kaum India hari ini meminta pihak-pihak yang terlibat dalam membahaskan isu penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik agar mengawal keadaan supaya tidak menjuruskan kepada perbalahan kaum.
Merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein mengenai Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), penyelaras kumpulan itu, Charles Santiago berkata:
"Pemuda Umno tidak patut menuduh Dong Zong sebagai kumpulan pelampau, sebaliknya perlulah duduk semeja bagi memahami pendirian pertubuhan itu dan masyarakat Cina mengenai isu ini," kata Charles kepada malaysiakini .
"Pemuda Umno mungkin nampak gagah di kalangan penyokong parti apabila memanggil Dong Zong sebagai pelampau, tetapi ianya tidak kelihatan baik dari kacamata rakyat yang berbilang kaum di negara ini atau pun orang asing," tambahnya.
Sebaliknya, Charles menyarankan agar Pemuda Umno menunjukkan sikap pentadbiran yang baik sekiranya mahu dihormati masyarakat.
Katanya, isu penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik turut membimbangkan kaum India kerana pelajar dikhuatiri menghadapi masalah untuk memahami kandungan matapelajaran kerana tidak mahir berbahasa Inggeris.
Tidak bersetuju
Kumpulan Masyarakat Prihatin mewakili 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kepentingan kaum India di negara ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata kenyataan rakan sejawatnya dari Umno itu jelas membuktikan bahawa pergerakan itu sebenarnya mengambil pendekatan perkauman di dalam isu ini.
"Mengapakan Pemuda Umno menggelarkan Dong Zong sebagai kumpulan pelampau kerana kerana ramai dari kalangan orang Melayu sendiri turut tidak bersetuju dengan langkah yang akan diperkenalkan oleh kerajaan itu," katanya.
Mahfuz berkata Pemuda Umno sendiri pada mulanya tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa Inggeris, tetapi kemudian menukar pendirian semata-mata kerana mengikut kehendak pemimpin tertinggi parti.
"Bagi saya, Pemuda Umno sebenarnya tidak memperlihatkan wajah mereka yang sebenar, tetapi terpaksa mengambil pendirian untuk akur dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad," katanya lagi.
Pada hakikatnya, kata Mahfuz, kesan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah tidak terhad kepada kaum Cina atau India sahaja, kerana dalam jangkamasa panjang, ia akan turut menjejaskan budaya Melayu.
"Ini adalah kerana dasar baru ini akan menghakis Sistem Pendidikan Kebangsaan yang digunapakai sekarang," ujarnya.
Hilang identiti
Semalam, Hishammuddin menyifatkan Presiden Dong Zong, Quek Suan Hiang, yang dikatakan menggambarkan kerajaan Malaysia meniru cara Indonesia dalam menghilangkan identiti Cina di negara ini, sebagai "melampau, lari dari isu sebenar dan berbau hasutan".
Quek dilaporkan berkata demikian dalam laporan di akhbar Sin Chew Jit Poh, , semasa berucap pada satu majlis anjuran pertubuhan pendidikan Cina di Sarawak.
Langkah kerajaan untuk memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar secara berperingkat di sekolah-sekolah, bermula dengan matapelajaran Sains dan Matematik bagi tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah mulai tahun hadapan telah mendapat tentangan pelbagai pihak.
Ini termasuk pertubuhan pendidikan Cina, pejuang bahasa dan sastera Melayu, NGO kaum India dan pertubuhan pelajar.
Bagaimanapun, kerajaan bertekad untuk terus melaksanakannnya, walaupun dijangka menghadapi berbagai masalah, dan hanya menunggu maklumbalas dari parti-parti komponen Barisan Nasional untuk memutuskan langkah tersebut.
Dalam mesyuarat Kabinet semalam, tidak ada keputusan dibuat mengenai perkara ini kerana parti komponen BN masih tidak dapat memberikan maklumbalas masing-masing.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now