Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
DJZ: Ucapan pengerusi Dong Zong diputarbelit Pemuda Umno
Published:  Aug 8, 2002 10:24 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru-guru Sekolah yang lebih dikenali sebagai Dong Jiao Zong (DJZ) kesal dengan tindakan Pemuda Umno yang didakwanya telah memutarbelitkan kenyataan pengerusi Dong Zong, Quek Suan Hiang untuk menuduhnya sebagai "pelampau dan berbau hasutan".

"DJZ berpendapat Pemuda Umno berniat untuk memutarbelitkan pernyataan Quek bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu bantahan terhadap pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris," kata DJZ dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut laporan muka depan Berita Harian hari ini, pergerakan Pemuda Umno menuduh kenyataan Quek berhubung isu itu sebagai "melampau, lari dari isu sebenar dan berbau hasutan".

Ketua pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Hussein, dalam kenyataan semalam, mendakwa bahawa Quek telah memberi gambaran kerajaan Malaysia mahu melaksanakan proses penyerapan seperti dasar kerajaan Indonesia terhadap masyarakat Cina di republik itu.

Hishamuddin dilaporkan berkata Quek cuba menghasut dan mengapi-apikan emosi masyarakat Cina dengan menabur fitnah terhadap sekolah wawasan serta membayangkan seolah-olah kerajaan akan menutup sekolah Cina di negara ini.

Namun bidas DJZ, Malaysia sebagai sebuah negara demokratik sebenarnya memerlukan satu sistem yang lebih telus untuk memperluaskan medan perbincangan.

Kenyataan bercanggah

"Kami berpendapat kerajaan pada masa ini terlalu gesa-gesa dalam mengendalikan dasar penting tanpa perbincangan langsung dengan pihak-pihak lain," katanya.

Selain itu, kata DJZ, alasan yang diberikan untuk melaksanakan dasar baru ini juga tidak meyakinkan.

"Kenyataan menteri dan pegawai-pegawai berkenaan juga seringkali bercanggah. Kadang-kadang mereka memberi alasan untuk menaikkan taraf penguasaan bahasa Inggeris dan kadang-kadang untuk menaikkan pengetahuan Sains dan Matematik. Malah ada pula yang berkata bukan untuk menaikkan taraf bahasa Inggeris."

Menurut DJZ, kenyataan yang tidak konsisten ini telah mengelirukan rakyat.

Selain itu, DJZ juga meminta kerajaan supaya mengkaji semula sistem pendidikan yang dilaksanakan selama ini kerana ia gagal untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam matapelajaran bahasa Inggeris.

Pertubuhan itu bersetuju bahawa rakyat perlu menguasai pelbagai bahasa dalam menghadapi era globalisasi tanpa berlengah-lengah lagi, tetapi bukanlah dengan pendekatan yang dicadangkan oleh kerajaan.

Turut dipengaruhi

"Sehubungan itu, rakyat, terutamanya pertubuhan pendidikan seharusnya diberikan 'ruang perbincangan' yang secukupnya, dan keputusan bukannya berdasarkan satu perintah 'mesti dilaksanakan'. Ini kerana [pelaksanaan cadangan] mempunyai kesan yang besar kepada masyarakat," kata persatuan itu.

DJZ berkata dari maklum balas yang telah dikumpulkan, masyarakat Cina secara umumnya berpendapat ciri-ciri sekolah Cina akan turut dipengaruhi jika penggunaan bahasa Inggeris dalam dua matapelajaran tersebut dilaksanakan.

"Dengan itu, DJZ sebagai satu badan pendidikan masyarakat Cina bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat Cina mengenai pendidikan bahasa ibunda dan tidak sepatutnya dipandang sebagai melampau dan berbau hasutan," katanya.

Oleh itu, DJZ berharap Pemuda Umno dapat melihat perkara ini dari gambaran yang lebih besar, iaitu bagaimanakah rakyat Malaysia dapat membuat persediaan untuk menjadi lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran era globalisasi.

Penggunaan bahasa Inggeris itu akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan mulai tahun depan tetapi belum ada keputusan bilakah ia akan dilaksanakan di SRJK Cina dan Tamil.

Bagaimanapun, cadangan itu telah mendapat tentangan pelbagai pertubuhan yang mewakili kaum masing-masing kerana ia dijangka menjejaskan prestasi pelajar dalam Sains dan Matematik.

Namun begitu, bantahan tiga pertubuhan Cina termasuk Dong Jiao Zong dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor (DPCS) telah mendapat perhatian yang lebih di dalam akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang mengkritik pendirian mereka.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS