Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekonomi Malaysia kuncup 1.7 peratus
Diterbitkan:  Feb 24, 2010 4:47 PM
Dikemaskini: 2:56 PM

Pencapaian ekonomi Malaysia yang mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lepas merupakan di luar jangkaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

"Ia hasil daripada permintaan dalam dan luar negara yang lebih kukuh,"katanya ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku berkenaan di Putrajaya.

najib announce gdp 240210 02 Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi tahun lalu ekonomi negara mencatatkan penguncupan sebanyak 1.7 peratus iaitu lebih rendah daripada penguncupan 3.0 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Ekonomi negara mencatatkan penguncupan tiga suku berturut-turut iaitu 6.2 peratus pada suku pertama, 3.9 peratus pada suku kedua dan 1.2 peratus pada suku ke tiga tahun lalu.

Semasa ditanya mengenai unjuran tahun ini, Najib berkata: "Kita yakin mengenainya."

Mengenai sama ada waktu sukar telah berlalu bagi ekonomi negara, beliau berkata ia telah berlalu sekiranya tiada perkara yang serius yang tidak dijangka berkait dengan ekonomi global timbul.

 "Sebagai contoh, sekiranya tiada keruntuhan negara utama yang tidak dijangka kita boleh menyifatkan kita ini telah pulih daripada krisis dan kita sepatutnya melihat pertumbuhan yang lebih kukuh pada 2010."

Sama ada negara boleh mencapai pertumbuhan 5.0 peratus tahun ini, beliau menjawab: "Boleh."

"Unjuran awal ialah kira-kira 4.0 peratus untuk tahun ini. Saya harap, boleh mencapai satu atau dua peratus lebih dari itu."

"(Kita) akan berusaha sepenuhnya bagi memastikan kita dapat memberi keyakinan dan pelaksanaan segera projek-projek dan menggalakkan sektor swasta untuk melabur dan dengan keyakinan pengguna yang lebih tinggi," katanya.

"Kita perlu menjadikan tahun ini baik dari segi prestasi ekonomi."

   

najib announce gdp 240210 mou ceremony Najib berkata pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan kerajaan yang lebih pesat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Sehingga kini, kata beliau, lebih 113,000 projek di bawah kedua-dua pakej rangsangan tersebut telah dan sedang dilaksanakan, meliputi jumlah perbelanjaan sebanyak RM17 bilion.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM13.9 bilion telah dibayar atau secara puratanya pembayaran sebanyak RM1 bilion sebulan mengalir ke pasaran sejak Januari 2009.

“Satu daripada sebab utama kenapa kita dapat membelanjakan kira-kira satu bilion sebulan pada 2009 ialah kerana kita mempunyai unit pemantauan khas di Kementerian Kewangan.”

“Ia tidak wujud sebelum ini tetapi unit ini bekerja keras dan terlibat dengan kementerian-kementerian dan agensi pusat yang melaksanakan bagi memastikan semua program yang dibuat di bawah kedua-dua pakej itu boleh dilaksanakan dengan segera.”

“Ini merupakan satu daripada sebab utama kenapa kita dapat mencapai lebih daripada jangkaan dari segi pertumbuhan ekonomi," katanya.

    

NONE Pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan dalam perbelanjaan sektor awam telah menyumbang kepada permintaan dalam negeri yang lebih tinggi yang mencatat kenaikan sebanyak tiga peratus pada suku keempat berbanding 0.4 peratus pada suku ketiga, kata Perdana Menteri.

Peningkatan penggunaan swasta disokong oleh pasaran pekerja yang lebih baik, kadar inflasi yang rendah, serta perbelanjaan yang lebih tinggi semasa musim cuti persekolahan dan perayaan pada akhir tahun, katanya.

Najib berkata sektor awam terus memainkan peranan utama dalam merangsang pertumbuhan pada suku tersebut.

Perbelanjaan penggunaan sektor awam meningkat sebanyak 1.3 peratus sementara perbelanjaan modal sektor awam meningkat dengan ketara berikutan perlaksanaan projek di bawah pakej rangsangan fiskal yang lebih giat.

"Perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion pada suku tersebut, peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding suku keempat 2008."

   

Perdana Menteri berkata terdapat tanda-tanda penstabilan dalam perbelanjaan modal sektor swasta pada suku keempat tahun lepas memandangkan sentimen perniagaan terus bertambah baik.

Perkembangan ini, bersama-sama dengan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi, telah menyumbang kepada pemulihan dalam pembentukan modal tetap kasar yang mencatat pertumbuhan positif sebanyak 8.2 peratus pada suku tersebut berbanding pertumbuhan negatif 7.9 peratus pada suku sebelumnya.

palm oil palm kelapa sawit 201107 Menyentuh prestasi eksport, Najib berkata Malaysia kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 5.1 peratus berbanding pertumbuhan negatif 22.4 peratus pada suku ketiga, disokong oleh peningkatan permintaan luar negeri, terutamanya dari negara serantau dan harga komoditi yang lebih kukuh.

Malaysia juga katanya terus menerima pelaburan asing dengan aliran masuk kasar meningkat kepada RM7.2 bilion berbanding RM6.7 bilion pada suku ketiga, dengan sejumlah besar pelaburan adalah untuk sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, Najib berkata kesemua sektor ekonomi mencatat prestasi yang lebih baik pada suku keempat.

Antaranya aktiviti sektor pembinaan berkembang dengan kukuh sebanyak 9.2 peratus hasil daripada perlaksanaan pesat projek-projek di bawah pakej rangsangan fiskal dan Rancangan Malaysia Kesembilan, katanya.

NONE Projek itu termasuk projek-projek infrastruktur utama seperti projek landasan kereta api berkembar elektrik, jalan raya, dan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana.

Penambahbaikan dan penyenggaraan sekolah dan hospital turut menyumbang kepada prestasi sektor pembinaan yang kukuh. 

Sektor perkhidmatan pula mencatat pertumbuhan yang menyeluruh dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam hampir kesemua sub sektor, katanya.

Sektor perkilangan kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif sebanyak 5.3 peratus, mencerminkan permintaan luar dan dalam negeri yang lebih baik.

   

- Bernama

 

ADS