BERITA Malaysiakini

JHEOA saran Orang Asli ke Suhakam

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Orang Asli Gombak diminta membawa kes mereka ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memandangkan dakwaan yang ditimbulkan mereka masih disiasat kementerian yang berkenaan.

Saranan itu disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Datuk Mohd Sani Mistam selepas menemui wakil penduduk dan wakil Majlis Peguam Malaysia hari ini.

NONE Pertemuan itu diadakan selepas sekumpulan 30 orang penduduk berpiket di hadapan pejabat bahagian kesihatan dan perubatan JHEOA -  yang turut menempatkan Hospital Orang Asli di Gombak pada tengahari.

Mohd Sani berkata jabatannya telah membuat siasatan awal terhadap dakwaan yang ditimbulkan termasuk berkaitan kematian dua orang pesakit yang menerima rawatan di hospitalnya.

"Saya tidak tahu kenapa mereka masih berpiket hari ini. Laporan itu kementerian yang buat jadi kita akan tunggu laporan kementerian (pembangunan luar bandar).

"Kita memang dah menyiasat, aduan sebelum ini pun kementerian ada buat pasukan untuk menyiasat, jadi mereka sedang sediakan laporan. Setakat ini saya pun belum dapat lagi laporan itu.

"Saya kata kalau hendak buat (bantahan), ikut saluran yang betul. Kita ada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Kalau ada (Orang Asli) yang tak puas hati apa-apa boleh adukan kepada Suhakam," katanya.

NONE Beliau turut mengulas mengenai Dasar Pemberimilikan Tanah kepada Orang Asli yang kini masih dalam peringkat kajian.

Katanya, jabatan itu kini sedang mengadakan 'road show' ke kawasan-kawasan penempatan Orang Asli di semenanjung bagi mendapatkan maklum balas mengenai dasar berkenaan.

"Sambutan cukup baik ada yang bersetuju dan ada juga yang kurang bersedia. Bukan dia tidak bersetuju tapi tidak bersedia. Ini juga bukan satu paksaan. Dasar yang kerajaan buat ini dia tidak ada had masa," katanya.

Tambahnya, isu melibatkan hak milik Orang Asli ke atas 'tanah saka' dan juga 'tanah rayau' juga sedang dibincangkan dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam dasar tersebut.

"Tanah saka itu maksudnya tanah yang dahulunya diusahakan oleh orang yang terdahulu . Tapi tanah itu sebenarnya atas tanah kerajaan negeri tapi dah ditanam dengan dusun dan ada penempatan itu yang dipanggil tanah saka.

"Maksudnya tanah yang diteroka tapi itu tanah kerajaan negeri," katanya.

Mohd Sani menambah, sebelum dibentangkan sebagai rang undang-undang di parlimen, perkata tersebut harus dikaji oleh peguam negara.

"Kita kalau boleh hendak ambil kira (pandangan Orang Asli). Tapi sekarang belum ada perbincangan secara terperinci. Itu dari segi dasar sahaja," katanya lagi, mengulas kekhuatiran yang ditimbulkan itu.

NONE Sementara itu, wakil majlis peguam Datuk Ambiga Sreevanasan ( kiri, berbaju gelap ) berkata beliau meneriman saranan daripada JHEOA untuk mengemukakan aduan kepada Suhakam berhubung perkara itu.

“Kita akan menemani Orang Asli (ke Suhakam) dan kita akan kemukakan aduan dengan harapan Suhakam akan melihat perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai hasil perbincangan dengan wakil penduduk Orang Asli dengan JHEOA sebelum itu, Ambiga berkata JHEOA hanya terkilan dengan tindakan penduduk mengadakan piket hari ini.

"Yang mereka kata kenapa tidak bincang sahaja dengan mereka. Kita kata sebab dah bincang beberapa kali dan buat aduan tidak ada apa-apa tindakan. Sehingga sekarang mereka tidak diambil kira dengan serius.

"Saya kata kita perlu bersetuju untuk tidak bersetuju. Saya percaya ini merupakan hak Orang Asli untuk menyatakan pendirian (berhimpun) dan memperjuangkan hak mereka.

Beliau turut mengulas kemajuan siasatan atas laporan-laporan polis yang dibuat, melibatkan kebajikan Orang Asli di situ.

"Inilah juga yang kita tanya, tapi nampaknya tiada siapa tahu apa yang terjadi kepada laporan berkenaan. Anda tahulah betapa cepatnya siasatan boleh dijalankan di negara ini, kadang-kadang sangat cepat.

"Kita tidak faham kenapa ia mengambil masa begitu lama. (Siasatan) ini bukanlah satu perkara yang susah," katanya lagi.