Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pihak berkuasa disaran siasat kegiatan Dong Jiao Zong
Published:  Aug 9, 2002 5:57 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

'Perang media' berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik berterusan apabila akhbar utama bahasa Melayu, Berita Harian menyarankan pihak berkuasa supaya menyiasat kegiatan persatuan yang kononnya memperjuangkan kepentingan tetapi lebih cenderung mengapi-apikan pelbagai hasutan.

Akhbar itu menamakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persekutuan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaya (Jiao Zong) antara persatuan yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

Dalam lidah pengarangnya hari ini, Berita Harian berkata, di negara yang berpaksikan toleransi rakyat berbilang kaum, tidak mempunyai tempat bagi "persatuan yang kononnya memperjuangkan kepentingan tetapi lebih cenderung mengapi-apikan pelbagai hasutan".

Akhbar itu menyifatkan pemimpin Dong Zong sebagai begitu kuat perasaan cauvinis hingga membelakangkan sensitivi kuam lain.

Katanya, bagi Dong Zong, perasaan orang Melayu, terutamanya, tidak penting dan tidak pun perlu diberi sebarang pertimbangan.

Akhbar it juga mendakwa bahawa presiden Dong Zong, Quek Suan Hiang mengapi-apikan emosi masyarakat Cina kononnya kerajaan mahu menutup sekolah Cina di negara ini.

Keharmonian kaum

"Kononnya, juga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah menengah Cina persendirian akan musnah ke akar umbi jika dasar penggunaan bahasa Inggeris tidak ditentang habis-habisan," kata lidah pengarang itu lagi.

Malah, dakwa akhbar itu, tindakan Quek yang hanya menggunakan akhbar berbahasa Cina untuk menyebarkan dakwaan yang memberi gambaran kerajaan mahu mencontohi proses penyerapan seperti dasar kerajan Indonesia terhadap masyarakat Cinanya, hanya akan memarakkan semula api perkauman.

Akhbar itu juga membidas pemimpin Dong Zong yang mengakui sebagai warganegara Malaysia, tetapi sikap mereka pula tidak membayangkan keharmonian antara kaum perlu dipelihara.

"Pada ketika orang Melayu sudah banyak bertolak-ansur, termasuk tidak membantah kewujudan sekolah Cina yang hampir lenyap ketika zaman penjajah dulu, persatuan pendidikan Cina seperti Dong Zong tidak pula melihat keperluan untuk melakukan yang sama," tegas lidah pengarang itu.

"Bukannya mereka tidak sedar sekolah Cina tidakpun dibenarkan wujud di Thailand, Myanmar (Burma), Filipina, mahupun Indonesia. Sebarang pemikiran sempit yang boleh mencetus ketegangan kaum tidak harus sama sekali dibenarkan.

"Ekstremisme sesuatu kaum, jika dibenarkan, hanya akan mengundang ekstremisme kaum lain hingga boleh membawa kepada suasana huru-hara dan negara akan porak-peranda," tambah akhbar itu lagi.'


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS