Kerajaan diminta timbang kesan jangka panjang guna bahasa Inggeris
Penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik boleh memberikan kesan sosial yang besar kepada rakyat negara ini dalam jangkamasa panjang kerana ia akan melahirkan dua golongan pelajar yang mempunyai pendedahan yang tidak seimbang terhadap bahasa berkenaan.
Prof Madya Teo Kok Seong, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pelajar yang mengikuti aliran Sains akan mempunyai lebih pendedahan kepada bahasa Inggeris berbanding dengan pelajar aliran Sastera.
"Walaupun pendedahan kepada bahasa Inggeris adalah sama banyak sehingga tingkatan tiga, pelajar yang meneruskan pengajian di aliran Sains akan mempunyai pendedahan yang lebih kerana mereka mempunyai lima matapelajaran yang diajar di dalam bahasa Inggeris, berbanding pelajar aliran Sastera yang meneruskan pengajian dalam bahasa Melayu," katanya.
Lima matapelajaran pecahan Sains dan Matematik bagi tingkatan empat dan lima adalah Matematik Tambahan, Matematik Moden, Kimia, Biologi dan Fizik.
"Apabila pelajar aliran Sains ini meneruskan pelajaran mereka pada tingkatan enam atau peringkat universiti, mereka akan meneruskan pengajian di dalam Bahasa Inggeris, dan akan jauh meninggalkan pelajar aliran Sastera di mana penggunaan bahasa Inggeris mereka yang mungkin terhenti setakat tingkatan tiga sahaja," kata Teo kepada Malaysiakini.
Masalah sebenar
"Akhirnya, rakyat negara ini akan terdedah kepada dua golongan, iaitu mereka yang mempunyai pendedahan yang lebih kepada bahasa Inggeris dan sebaliknya," katanya ketika diminta mengulas mengenai kesan dari dasar pendidikan, khususnya mengenai penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik.
Bagaimanapun, Teo yang tidak bersetuju dengan cadangan itu yang dijangka bermula tahun depan itu, berkata penggunaan bahasa Inggeris bagi kedua-dua matapelajaran tersebut bukanlah "ubat" kepada masalah sebenar.
Katanya, masalah pokok sekarang ialah pelajar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan oleh itu satu penyelesaian mesti diambil.
"Bagi saya, rawatannya bukanlah menggunakan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik, kerana kedua-duanya tidak melibatkan kandungan bahasa yang tinggi (berbanding matapelajaran lain)," kata Teo.
Oleh itu, beliau menyarankan supaya kerajaan melihat kembali kepada sukatan pelajaran dan kurikulum bahasa Inggeris itu sendiri untuk membetulkan kelemahan yang ada.
Pelajar luar bandar
Teo, yang juga pernah menjadi guru bahasa Inggeris selama lima tahun di Raub, Pahang, mengakui bahawa adalah sukar untuk mendidik pelajar dalam bahasa tersebut.
"Sekiranya saya bercakap dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, pelajar tidak akan memahami apa-apa pun. Jadi, terpaksalah saya menerangkan dalam bahasa Melayu apa yang saya cuba ajarkan," kata Teo.
Secara keseluruhannya, kata beliau, pelajar luar bandar hampir tidak mempunyai kemahiran lansung dalam bahasa Inggeris dan masalah akan menjadi lebih besar sekiranya mereka terpaksa belajar Sains dan Matematik di dalam bahasa yang asing bagi mereka.
Menurutnya, kebanyakan guru bahasa Inggeris di luar bandar sendiri tidak dapat menguasai bahasa itu dengan baik.
"Saya tidak begitu yakin kebanyakan guru bahasa Inggeris dapat mempertingkatkan kemahiran mereka semata-mata melalui kursus yang akan diadakan sebelum dasar ini dimulakan, iaitu di dalam tempoh empat bulan akan datang," tambah Teo.
Falsafah tukang kayu
Teo juga bimbang sekiranya kesilapan yang dilakukan kali ini mungkin menjadikan bahasa Malaysia "tergelincir" dari arus bahasa utama buat selama-lamanya.
"Ini adalah kerana era globasasi akan hanya memenangkan yang kuat sahaja," katanya.
Oleh yang demikian, beliau mengingatkan pihak-pihak yang mahu mengenepikan bahasa kebangsaan dan bahasa lain di negara ini, agar mengikut falsafah tukang kayu, iaitu "ukurlah dua atau tiga kali sebelum memotong, bagi mengelakkan supaya kayu tidak boleh dipakai setelah dipotong".
"Jadi saya ingin merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula cadangan dan tidak tergesa-gesa dalam melaksanakannya," kata Teo.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Goh Hin San, mencadangkan kerajaan mempertimbangkan alternatif lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
"Kalau kerajaan bertegas melaksanakan dasar ini, saya rasa ianya akan berakhir dengan kegagalan. Bagi saya, dasar ini susah untuk diterima akal kerana kerajaan sendiri tidak membenarkan matapelajaran bahasa Inggeris diajar pada tahap satu dan dua.
Tiada keputusan
"Jadi, bagaimanakah kerajaan hendak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) untuk Sains dan Matematik dari darjah satu lagi," kata Goh, yang pernah menjadi guru selama 17 tahun.
Beliau mencadangkan agar kerajaan membenarkan bahasa Inggeris diajar dari darjah satu di SJKC serta buku-buku teks diadakan di dalam dua bahasa," katanya.
Perspektif adalah badan professional di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka yang membuat terjemahan karya-karya sastera dari Bahasa Melayu ke bahasa Mandarin dan sebaliknya.
Penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar matapelajaran Sains dan Matematik akan diperkenalkan kepada pelajara tahap satu dan tingkatan satu mulai tahun depan.
Bagaimanapun, kerajaan masih belum keputusan sama ada untuk turut melaksanakannya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina dan Tamil) kerana mendapat tentangan pelbagai pihak dalam masyarakat Cina di negara ini.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now