PUM perjelas pendirian berhubung isu Nik Aziz

comments     Published     Updated

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) hari ini mengingatkan para pemimpin politik Melayu agar berhati-hati dalam menyatakan pandangan yang menyentuh asas-asas agama seperti perlaksanaan hudud, menuduh ulama menghina Allah dan mempertahankan kenyataan-kenyataan kufur golongan orientalis.

"Ini adalah penting agar iltizam mereka terhadap agama tidak terhakis dan dipersoalkan oleh masyarakat umum," kata Presiden PUM, Abdul Ghani Shamsudin sebagai menjawab tuduhan pelbagai, termasuk media perdana bahawa persatuan itu perlu menyatakan pendiriannya berikutan kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa Allah itu 'samseng".

PUM juga turut dikritik oleh pemimpin-pemimpin Umno, sebagai menjadi kuda tunggangan PAS kerana kenyataan pemimpinnya dilihat sebagai mempertahankan pemimpin PAS seperti Nik Aziz.

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau juga menyeru media perdana yang saban hari menghentam, memburukkan dan menfitnah golongan tertentu agar menghentikannya segera demi mengembalikan semula keharmonian, kerasionalan, keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat.

"Dalam hubungan menafsirkan ayat-ayat Allah, masyarakat dan pemimpin Umno khasnya, perlu menghormati pandangan alim ulama rabbani yang memperjuangkan Islam dalam semua aspek termasuk politik tanpa banyak memikirkan kepentingan diri.

"Ilmuan agama yang berijazah dan ikhlas adalah berautoriti untuk memahamkan tafsiran al-Quran, istilah agama dan nama-nama tuhan kepada masyarakat awam dengan cara dan kaedah serta bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat setempat," katanya.

Abdul Ghani menjelaskan huraian dan tafsiran yang dibuat oleh ulama hendaklah difahami menurut motif dan konteks pengucapan dan ditanggapi dengan jujur.

Hujah lawan

"Di dalam al-Quran terdapat gaya pengucapan yang disebutkan dari sudut balaghah sebagai musyakalah. Musyakalah adalah suatu cara gaya menangkis dengan tempelakan yang meminjam istilah lawan, tanpa bermaksud untuk memberi makna yang sama dengan istilah tersebut tetapi hanyalah sekadar untuk mematahkan hujah lawan," jelasnya.

Oleh itu, jelas beliau, adalah tidak menjadi kesalahan jika mana-mana ulama mengatakan dalam konteks menjelaskan makna nama bahawa Allah lebih samseng dari segala samseng-samseng untuk memberi penekanan makna dan menimbulkan keinsafan tentang martabat manusia dan kudrat mereka yang amat terbatas berbanding dengan Allah, tanpa niat menghina dan menjatuhkan Allah.

"Dalam konteks musyakalah tidak dimaksudkan Allah benar-benar menipu, atau menyuruh orangmenceroboh dan sebagainya tetapi adalah untuk menegaskan bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Berupaya untuk mengatasi segala bentuk tipu muslihat manusia dan boleh mengagalkan serta mengalahkan segala jenis samseng-samseng manusia.

"Justeru, Allah serba maha dan lebih berupaya untuk melakukan kesamsengan," jelas Abdul Ghani..

Oleh yang demikian, katanya, PUM menyeru agar masyarakat menghormati dan menghargai peranan alim ulama seperti Nik Aziz dan lain-lain dalam mendidik rakyat Kelantan serta orang Islam amnya.

Beliau juga menyeru pihak media supaya bersikap "gentleman" dengan memberi peluang lawan politik mereka mengemukakan hujah sebagaimana yang mereka sendiri mahu, dan bukannya menyiarkan berita yang ditentukan oleh lawan mereka.

Katanya, perbuatan memonopoli media rakyat untuk memburukkan segolongan rakyat oleh parti tertentu sahaja "adalah sesuatu perbuatan hina dan bertentangan dengan dasar agama, amalan demokrasi dan tidak adil".

"Media adalah milik rakyat. Oleh itu ia hendaklah mempertahankan hak-hak rakyat untuk mengamalkan budaya demokrasi adil dan seimbang, di mana setiap kumpulan parti politik yang sah dalam negara dianggap sebagai berhak mendapat akses dan liputan yang adil untuk menyuarakan pandangan mereka," katanya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In