Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menegaskan hari ini bahawa integrasi dan perpaduan kaum di negara ini akan terjejas disebabkan kewujudan sistem persekolahan yang pelbagai jenis dan bahasa.
"Di dalam dunia ini, hanya di Malaysia sahaja terdapat sekolah pelbagai bahasa yang dibiayai oleh kerajaan. Tidak ada negara yang maju atau tidak maju yang membenar dan menyokong sistem persekolahan ini," katanya.
Berucap merasmikan pelancaran Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di Setapak, Kuala Lumpur, beliau berkata kerajaan membenarkan sistem pelbagai bahasa ini kerana "kita lebih toleran daripada mana-mana bangsa atau negara di dunia".
"Bagaimanapun, kita sedar dengan adanya sekolah berbagai-bagai bahasa ini, integrasi dan perpaduan kaum di negara kita akan terjejas, menjadi tidak mudah.
"Jika kerana penggunaan bahasa ibunda kaum tertentu menghalang kemasukan kaum lain dalam mana-mana universiti, maka integrasi kaum akan menjadi lebih sukar. Sudah tentu ini akan membawa masalah perkauman dalam masyarakat Malaysia.
"Sebab itulah kita tidak dapat terima lebih banyak kelainan dalam sekolah-sekolah di Malaysia. Puak yang menuntut supaya identiti kaumnya tidak boleh dicemar, akan hanya menyebabkan kaum lain pula membuat tuntutan yang sama," tambahnya.
Jurang perkauman
Dr Mahathir berkata, apabila kesemua pihak berdegil dan membelakangkan kepentingan negara, maka perpaduan dan keharmonian yang telah lama kita berjaya tegakkan akan rosak dan hancur.
Dalam ucapannya itu juga beliau seringkali mengingatkan orang ramai tentang perpisahan antara kaum yang semakin merosot. Amaran seperti ini juga telah disuarakan oleh Dr Mahathir semasa merasmikan perhimpunan agung MCA pada Jun 27.
"Sekarang di peringkat sekolah rendah dan menengah sudah ada perpisahan antara kaum. Jika perpisahan ini diteruskan ke peringkat universiti, maka masyarakat dewasa Malaysia akan memperlihatkan perkauman yang semakin ketara," tegasnya lagi.
Beliau turut berkata, integrasi kaum juga sukar dicapai kerana perbezaan pendapatan antara kaum yang mungkin menyebabkan universiti swasta akan dipenuhi dengan satu kaum dan universiti kerajaan dengan kaum yang lain.
"Kerajaan terpaksa menanggung subsidi di universiti awam untuk membantu mengurangkan yuran. Tetapi universiti swasta, walaupun mendapat sokongan daripada sumbangan individu atau korporat, terpaksa mengenakan yuran yang tinggi. Hanya mereka yang mampu sahaja yang dapat pergi ke universiti swasta," tegas perdana menteri.
Sebelum ini, timbul isu pengambilan pelajar di Utar apabila hanya seorang pelajar Melayu Yanti Heryani Puteri Emrizal Bujang, terpilih menuntut di universiti swasta itu. Bagaimanapun, Utar kemudiannya mendakwa bilangan pemohon bumiputra ke universiti itu adalah terlalu kecil.
Hubungan pelajar
Menurut perdana menteri lagi, Utar mempunyai peranan lebih besar dalam aspek hubungan pelajar pelbagai kaum.
"Ia adalah universiti swasta dan kita tahu universiti swasta biasanya tidak mempunyai ramai penuntut Bumiputera. "Usaha mesti dibuat untuk menarik seberapa ramai yang mungkin penuntut Bumiputera," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir juga berkata"kelab antara kaum" akan dilancarkan untuk bergiat dalam bidang sosial, sukan, lawatan pelajaran di dalam dan di luar negara.
"Kepimpinan dan penyertaan kelab-kelab ini mestilah daripada semua kaum dan mereka boleh mengadakan kursus berkenaan adat resam, pantang larang dan sensitiviti masing-masing kaum," ulasnya.
Beliau juga menyeru peserta dalam program itu supaya "berusaha secara sedar" untuk mengelak dari bersengketa dan bertelagah antara mereka" terutama yang berasas kepada kelainan kaum.
Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan memberi galakan dan hadiah kepada kelab yang berjaya disertai semua kaum dan mempunyai rekod yang baik dalam usaha merapatkan hubungan yang erat antara kaum.
Pengambilan pelajar
Perdana menteri berkata ia adalah satu usaha kerajaan selepas mendapati universiti-universiti tidak mengambil usaha-usaha positif ke arah itu.
Sementara itu, Presiden MCA Dr Ling Liong Sik yang ditemui selepas majlis itu berkata, pihaknya memandang serius nasihat perdana menteri dalam usaha menangani jurang perkauman.
Ditanya lanjut mengenainya, Dr Ling berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan kaunselor di sekolah menengah untuk memberi penjelasan lanjut mengenai Utar.
"Dengan cara itu, semua pelajar, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, akan membuat permohonan [ke Utar]," ulasnya.
Di samping itu, kata Dr Ling, pihaknya juga akan mengambil usaha lain termasuk mengenakan kos pembelajaran yang terendah mungkin kepada pelajarnya.
Bagaimanapun, katanya, sistem quota tidak akan dilaksanakan di universiti swasta itu untuk mewujudkan kesamarataan kaum dalam pengambilan penuntut kerana menyifatkan itu sebagai satu dasar yang "mengikatkan sendiri".
Majlis pelancaran Utar milik MCA hari ini dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang, termasuk para menteri dan pemimpin parti itu, bekas presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon, Presiden MIC, Datuk S Samy Vellu, dan Pengerusi Majlis Penasihat Antarabangsa Utar, Prof Wang Gung Wu.
2 HARI LAGI! Mulai Khamis ini, bersamaan 15 Ogos, seksyen berita dalam malaysiakini tidak lagi diberi percuma. Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti satu-satunya sumber dan penyebar berita bebas dari kami. Langgan SEKARANG! Click here .
