Umno didakwa tergelincir dalam memperjuangkan bahasa Melayu
Kontroversi yang menyelubungi isu penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik, mencerminkan bahawa Umno telah 'tergelincir' daripada matlamat parti itu yang selama ini berjuang untuk mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Keadilan, Khalid Jaafar.
Katanya, sejarah memperlihatkan bahawa presiden Umno sebelum ini seperti Tunku Abdul Rahman Alhaj dan Tun Razak Hussein memberi tumpuan utama kepada isu pendidikan, terutama yang membabitkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini.
Sebaliknya, kata beliau, pemimpin Umno sekarang, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir pula mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
Malah, katanya, penggunaan bahasa Inggeris itu juga mahu diperluaskan meliputi sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil.
Khalid menegaskan demikian dalam satu sesi ceramah bertajuk 'Gelora Politik Melayu' anjuran Bahagian Belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau juga kecewa dengan pelbagai cara yang diambil oleh kerajaan untuk menjayakan juga pelaksanaan dasar baru itu, termasuk 'ugutan' penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang menentangnya.
Tiada perubahan
Berikutan itu, Khalid tidak meletakkan harapan yang tinggi bahawa peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (
kanan
) akan memberi sebarang pembaharuan dalam suasana politik, khususnya yang membabitkan isu bahasa ibunda rakyat pelbagai kaum di negara ini.
"Setakat ini, saya masih menganggap ianya akan merupakan penggantian personaliti yang tidak akan membawa sebarang perubahan besar dalam suasana politik di negara ini," katanya.
Katanya, ini kerana Abdullah tidak pernah menulis sebarang buku, sepertimana Dr Mahathir untuk membolehkan umum mendalami dan memahami halatuju politiknya.
Tanpa maklumat seumpama itu, Khalid berkata, adalah sukar untuk dibuat sebarang kesimpulan mengenai apa juga perubahan yang mungkin berlaku selepas Abdullah mengambil alik tampuk kepimpinan Umno dan negara, tahun depan.
Mengenai kesan politik terhadap PAS selepas kematian Presidennya Datuk Fadzil Nor baru-baru ini, Khalid yakin, ianya akan tetap berligar dalam gagasan Barisan Alternatif (BA) yang dikongsi dan diwarnai mengikut kesesuaian parti anggota barisan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berharap, dalam isu hudud, PAS bersedia berkongsi bersama dengan rakan-rakannya dalam BA, terutama dalam soal kebebasan beragama dan hak asasi manusia.
Selain itu, katanya, usaha kepimpinan PAS yang diterajui oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetengahkan politik Islam sederhana, sesuai dengan keadaan politik semasa negara, juga merupakan satu perkembangan menarik yang sedang diperhatikan oleh rakyat negara ini.
HARI TERAKHIR! Mulai Khamis ini, bersamaan 15 Ogos, seksyen berita dalam Malaysiakini tidak lagi diberi percuma. Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti satu-satunya sumber dan penyebar berita bebas dari kami. Langgan SEKARANG! Klik sini .
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now